Dakwaan minyak masak kitar semula disiasat
KUALA LUMPUR, 7 Safar 1438H, Isnin – Kementerian Kesihatan melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan akan menjalankan pemeriksaan terhadap minyak masak paket bersubsidi yang dilaporkan mempunyai unsur kitar semula.
Menteri berkenaan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata ia bagi mengelak penipuan dan penjualan minyak yang dikitar semula sehingga boleh menjejaskan kesihatan pengguna.
“Dari segi keselamatan makanan, kita mempunyai kuasa yang membenarkan apa-apa sahaja jenis makanan yang dijual diperiksa.
“Ia termasuk pemeriksaan di kedai-kedai dan penggunaan minyak masak oleh golongan pengusaha restoran serta peniaga makanan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.
Sebelum ini, orang ramai dan badan bukan kerajaan melahirkan kebimbangan terhadap kemungkinan berlaku penjualan minyak masak yang dikitar semula secara berleluasa akibat kenaikan harga minyak masak.- Bernama
The post Dakwaan minyak masak kitar semula disiasat appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan