Dana dan Keselamatan
Campurtangan secara tak langsung dalam urusan negara oleh anasir-anasir bermotifkan politk adalah sesuatu yang membimbangkan. George Soros baru-baru ini didapati telah menaja Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Bersih.
Pembiayaan kumpulan perhimpunan haram warna kuning BERSIH yang bermotifkan politik amatlah membimbangkan, memandangkan Open Society Institute yang telah diasaskan olehnya pada tahun 1993 juga dikatakan telah membiayai siri ‘colour revolutions’ di Eropah Timur dan juga telah terlibat membiayai revolusi ‘Arab Spring’ yang telah menyebabkan kejatuhan-kejatuhan kerajaan secara paksa dan menimbulkan keadaan huru-hara dan anarki kepada negara-negara yang terlibat.
Agenda campur tangan ini bukanlah hanya dongengan sepertimana yang didakwa oleh sebahagian pihak-pihak tertentu. Kesan modus operandi ini dapat dilihat pada kehancuran yang telah berlaku di Syria, Mesir, Libya, dan negara-negara Arab yang lain.
Kebanyakkan negara-negara ini masih dalam keadaan huru-hara dan rakyat mereka menjadi pelarian di bumi sendiri. Nampaknya kerakusan George Soros ini masih tidak cukup untuk menghalang beberapa golongan untuk meminta bantuan daripadanya. Seolah-olah bantuan ini adalah daripada orang yang suci murni.
Masih lagi kita teringat bagaimana berlaku kekecohan apabila perusuh-perusuh warna kuning BERSIH melakukan huru-hara dengan melakukan kekasaran yang disasarkan terhadap pihak polis sehingga ada yang sanggup menyerang dan menterbalikkan kenderaan polis.
Tentu sahaja pihak penganjur perhimpunan haram ini boleh memberi alasan bahawa tindakan ganas para perusuh warna kuning BERSIH itu adalah di luar kawalan mereka namun yang menjadi persoalannya, mengapa masih lagi tergamak menganjurkan beberapa siri perhimpunan sebegitu lagi sedangkan mereka sendiri tidak berupaya untuk mengawal para peserta perhimpunan mereka sendiri?
George Soros hanyalah salah seorang daripada banyak lagi pembiaya dana asing politik dengan motif dan sejarah yang amat diragui. Sekiranya yayasan-yayasan milik mereka bebas membiayai mana-mana gerakan yang berunsur politik di negara ini tanpa sebarang pemantauan oleh pihak kerajaan, maka kita akan mendedahkan negara ini kepada risiko campur tangan asing yang boleh mengganggu-gugat kedaulatan negara ini.
Tanpa sebarang pantauan, mana-mana pihak asing berupaya untuk campur tangan dalam urusan politik negara dengan cara membiayai sebarang aktiviti yang dijalankan oleh pertubuhan-pertubuhan seperti ini untuk mengapi-apikan rakyat demi bangkit menggulingkan kerajaan yang sedia ada yang telah dipilih melalui sistem demokrasi.
Risiko yang wujud ditimbulkan oleh pendanaan asing ini bukan hanya terbatas di dalam kekacauan politik semata-mata, tetapi juga boleh membahayakan keamanan dan kedamaian masyarakat beragama di Malaysia.
Tentu masyarakat negara ini masih lagi teringat akan keresahan dan kemarahan yang timbul disebabkan oleh tindakan biadab seorang aktivis NGO yang memfitnah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai menyebarkan fahaman ekstremis pada setiap Jumaat.
Sifat provokasi biadab itu adalah dilakukan dengan sengaja oleh individu tersebut yang juga merupakan seorang Pengarah Eksekutif sebuah NGO yang turut menerima dana asing. Persoalan yang mungkin timbul ketika ini, adakah sikap provokasi biadab terhadap kesucian agama Islam itu dilakukan kerana ia memang merupakan motif penubuhan NGO tersebut, atau ‘terpaksa’ dilakukan kerana telah menerima dana oleh pihak asing yang mempunyai agenda pencerobohan dan penghinaan terhadap agama Islam?
Bukankah kita mempunyai tanggungjawab sebagai warganegara Malaysia? Apakah kita akan “membantu” penjajahan alaf baru ke atas negara kita?
Rehan Ahmad Bin Jamaluddin Ahmad
Felo Penyelidik, Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM)
The post Dana dan Keselamatan appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan