Dari mulut helang ke mulut naga

14938287_1247118521976248_5689500751989586109_n

Di Cyberjaya, Bangi dan Wangsa Maju ada restoran yang namanya Salam Noodles. Restoran ini menyajikan masakan unik yang amat menyelerakan.

Antara menu yang terkenal adalah sate kambing yang diperap khas dengan resipi khas Cina Muslim dan mee istimewa berkuah yang diadun dengan herba dan rempah yang tersendiri.

Menu-menu menyelerakan di Salam Noodles ini lebih mirip kepada masakan bangsa Uighur sebenarnya, satu bangsa yang telah berasimilasi dengan Islam, sama seperti bangsa Arab, bangsa Melayu dan bangsa Turk.

Bangsa Uighur ini asalnya dari satu wilayah di dalam China yang dikenali dan dipetakan dalam peta dunia moden sebagai Xinjiang.

Xinjiang ini dari segi geografi, berjiran dengan Mongolia, Kazakhstan, Krygyzstan dan Afghanistan. Bandar Kashgar dan Urumqi di dalam wilayah ini, adalah antara laluan penting dalam laluan sutera yang menghubungkan antara Asia dan Eropah.

Bangsa Uighur ini bukan bangsa China. Dari sudut adat, bahasa dan budaya, mereka lebih hampir kepada bangsa Turk.

Rupa mereka juga lebih mirip kepada bangsa Turk, dan mata mereka tidaklah sepet seperti kebanyakan orang China.

Bangsa Uighur ini adalah bangsa yang tertindas di bumi sendiri akibat penjarahan secara sistematik dan beransur-ansur oleh kerajaan China.

Kini, mereka bertebaran di merata dunia walaupun masih ramai yang memilih untuk kekal di sana.

Di Adelaide, Australia, sebagai contoh, bangsa Uighur ini agak signifikan bilangannya, terdapat sebuah masjid besar di Wandana yang bercirikan kebudayaan Uighur dan dikelolakan semua urusan pentadbirannya oleh kelompok Uighur ini.

Di Adelaide juga, ada beberapa restoran yang menyajikan masakan khas Uighur.

Dari sudut sejarah, Xinjiang ini adalah nama selepas berlaku penaklukan China ke atas wilayah ini pada kurun ke 18.

Sebelum ini, namanya adalah Turkistan Timur dan hingga sekarang, gerakan untuk mendapatkan kemerdekaan masih aktif dan masih mengiktiraf Turkistan Timur sebagai sebuah wilayah yang sah dan merdeka.

Pada tahun 1949, aktivis kemerdekaan Turkistan Timur mengisythiharkan kemerdekaan wilayah ini, tapi dengan tekanan dan strategi yang dilakukan oleh Beijing, terutamanya pada abad 90an, kemerdekaan ini tidak kekal lama.

China melakukan pelbagai strategi untuk mengekalkan wilayah ini sebagai taklukannya. Pertamanya adalah strategi migrasi besar-besaran oleh etnik Han.

Sebelum ini, majoriti penduduk di wilayah ini adalah bangsa Uighur, namun, China melakukan polisi penempatan dan penghijrahan etnik Han secara besar-besaran hinggakan dalam bancian terkini pada tahun 2000, etnik Han kini meliputi 40% daripada penduduk di wilayah Xinjiang.

Itu penduduk Han yang berdaftar, pelbagai sumber menyebut bahawa proses migrasi besar-besaran ini masih berjalan dan masih banyak penduduk dari etnik Han yang masih belum didaftarkan.

Hari ini, bangsa Uighur telah menjadi bangsa minoriti pula.

Kedua, Beijing juga menghantar pasukan tentera dalam jumlah yang banyak untuk membendung ‘keganasan’ di wilayah ini dan yang dikatakan berasal dari sini.

Beberapa serangan yang tidak dapat dipastikan siapa pelakunya dijadikan ‘false flag’ untuk menempatkan tentera dalam jumlah yang banyak di wilayah ini, antaranya adalah ‘serangan’ di bangunan kerajaan di Shanshan pada tahun 2013 yang mengorbankan 27 nyawa dan serangan di medan Tiananmen yang dengan cepat dituduh oleh Beijing bahawa pelakunya adalah ‘pengganas’ Uighur.

China juga membangunkan wilayah ini dengan projek-projek mega yang hanya menguntungkan etnik Han dan secara sistematik, meminggirkan bangsa Uighur dalam projek-projek pembangunan ini.

Akhirnya, ramai yang berhijrah kerana tekanan ekonomi dan tidak mempunyai peluang pekerjaan yang secukupnya.

Langkah yang paling menyedihkan adalah penghapusan identiti Islam secara sistematik di wilayah ini, mungkin kerana menyedari bahawa Islam adalah motivasi tertinggi penduduk wilayah ini untuk bersatu dengan jiran-jiran mereka dan berjuang mendapatkan kemerdekaan.

Penduduk Islam dilarang dari berpuasa di bulan Ramadan. Bukan satu rahsia yang staf-staf kerajaan yang beragama Islam dari bangsa Uighur akan dipaksa untuk makan pada siang hari di bulan Ramadan.

Jamuan khas akan dibuat untuk memastikan mereka yang beragama Islam makan di bulan Ramadhan. Yang berpuasa, akan dikenakan tindakan tegas, dipecat dan mungkin dipenjarakan.

Selain itu, orang muda juga dikatakan akan dikenakan tindakan jika solat berjemaah di masjid. Orang-orang alim juga dibunuh dan banyak juga yang dikatakan ‘hilang’ dari kediaman secara tiba-tiba.

Ahli akademik yang lantang seperti Ilham Tohti dan beberapa pelajarnya dipenjarakan seumur hidup dalam perbicaraan yang hanya mengambil masa 2 hari. Kebebasan bersuara disekat dengan ketat.

Banyak lagi siri-siri penghapusan identiti secara sistematik yang dilakukan oleh kerajaan China dan tindakan seperti inilah yang mendorong ramai yang berhijrah ke negara-negara luar seperti Australia dan Kanada untuk memelihara agama mereka.

Tidak kurang juga yang berhijrah ke Afghanistan dan bersatu dengan gerakan-gerakan yang lebih radikal.

Michael Dillon, seorang ahli akademik yang menulis buku berkenaan dengan Xinjiang menyebut bahawa punca utama keganasan dan pergolakan di wilayah ini adalah sikap kolonial dari pegawai-pegawai China etnik Han yang ingin menguasai dan meminggirkan penduduk asal di situ.

Dillon juga menyebut bahawa satu-satunya cara untuk mencari damai di wilayah bergolak ini adalah dengan memberi autonomi kepada wilayah ini, yang mana mustahil Beijing akan melakukannya.

Dengan apa yang berlaku di wilayah Xinjiang dan terhadap bangsa Uighur ini, wajarlah ada yang berasa gusar dengan hubungan terlalu mesra antara kerajaan Malaysia dan China.

Strategi pengimbangan kuasa itu memang sesuatu yang diperlukan kerana Malaysia tidak mampu berdiri berseorangan dalam kancah dunia global hari ini.

Tapi, jangan sampai terlepas dari mulut helang, masuk pula ke mulut naga. Lebih malang, kalau naga dan helang sama-sama berkongsi meratah hidangan di hadapan mata.

#WU
#Darimuluthelangkemulutnaga
#risaumasadepankita

Dr Hisham Sharif

Ketua Biro Penerangan Isma Kubang Pasu

Penafian: Artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Isma, sebuah pertubuhan Islam sederhana dan Ismaweb.net

The post Dari mulut helang ke mulut naga appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?