Delegasi KL Summit kagum sistem urus tadbir Malaysia
BANGI, 22 Safar 1438H, Selasa – Delegasi pemikir dan tokoh Islam Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (KL Summit) menyatakan kekaguman mereka terhadap sistem urus tadbir yang dilaksanakan di Malaysia dalam pelbagai sektor.
Perkara itu dinyatakan kepada Ahli Jawatankuasa Isma Pusat, Prof Dato Ir Dr Badhrulhisham Abdul Aziz ketika persidangan di Khartoum, Sudan baru-baru ini.
Ia berikutan menerusi forum yang diadakan, beliau berkongsi serba sedikit cara pengurusan sistem yang lebih teratur supaya dapat diterapkan kepada negara Islam yang lain.
“Terutamanya dalam bidang pentadbiran awam, kerajaan tempatan, universiti serta sektor swasta,” katanya dalam Forum KL Summit 2016 yang mengetengahkan tajuk ‘Tadbir Urus Yang Baik dan Peranannya kepada Kemajuan Tamadun’.
Dalam ucapannya, Prof Badhrulhisham berkata, hampir 95 peratus umat Islam menguruskan pentadbiran awam di Malaysia dan ia suatu perkara yang membanggakan.
Bahkan ia membuktikan bahawa orang Islam mampu melaksanakan yang terbaik jika diberi peluang.
“Semua urusan pentadbiran awam telah didokumentasikan sehingga ke peringkat yang boleh diautomasi dengan menggunakan kemudahan ICT, seperti pembuatan pasport antarabangsa dapat disiapkan dalam tempoh kurang satu jam,” katanya.
Katanya, meskipun sistem di Malaysia tidak sempurna tetapi banyak yang boleh dipelajari untuk disesuaikan dengan negara Islam lain.
“Ini kerana umat Islam perlu memiliki daya integriti yang tinggi dalam melakukan sesuatu perkara, walaupun tiada siapa yang memerhati,” katanya lagi.
Persidangan KL Summit menghimpunkan tokoh negara, ahli politik dan pemikir Islam untuk berbincang dan mencari formula bagi membangunkan negara-negara Islam dan mengatasi cabaran yang dihadapi.
Persidangan ini adalah cetusan idea Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman dan pertama kali diadakan di Kuala Lumpur pada tahun 2014.
The post Delegasi KL Summit kagum sistem urus tadbir Malaysia appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan