DUN Ajil lancar tabung kemanusiaan Rohingya
HULU TERENGGANU, 29 Safar 1438H, Selasa – Prihatin dengan nasib menimpa etnik Rohingya, pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil hari ini melancarkan Tabung Kemanusiaan Rohingya bagi mengumpul sumbangan bagi membantu mereka.
ADUN Ajil, Ghazali Taib berkata, sumbangan itu akan diserahkan kepada badan yang mengendalikan kutipan derma di peringkat Pusat untuk dibawa ke Myanmar bagi membantu etnik Rohingya yang kini berdepan krisis kemanusiaan.
“Etnik Rohingya dinafikan hak mereka sebagai warga Myanmar dan ada ditindas dengan pelbagai seksaan. Kita berharap dengan sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan bebanan ditanggung mereka.
“Kita berharap masyarakat di DUN Ajil akan turut sama menyumbang, dan
InsyaAllah akan diikuti di seluruh negeri,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknologi, Komunikasi dan Tugas-Tugas Khas Negeri berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Tabung Kemanusiaan Rohingya di Pejabat Penyelaras DUN Ajil, di sini hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Penyelaras Pemuda UMNO DUN Ajil, Waaki Wahab berkata, bagi memudahkan urusan mengumpul sumbangan, pihaknya akan menggerakkan barisan Pemuda untuk menjelajah ke kampung-kampung.
“Kita menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk mengumpul sumbangan dan kita akan bawa tabung ini ke kampung-kampung untuk memudahkan orang ramai turut sama menyumbang,” katanya.
Sementara itu, Mohd Khan Umar Sadiq, 26, etnik Rohingya yang berhijrah mencari rezeki di Terengganu, berkata beliau bersyukur dan berterima kasih kepada ADUN Ajil dan kerajaan Malaysia yang prihatin dengan nasib menimpa saudara Islam di Myanmar.
“Saya mengetahui perkembangan di sana melalui media sosial dan berita serta berhubung dengan keluarga di sana melalui telefon…keadaan mereka memang teruk, etnik Rohingya dibunuh serta diseksa dan ada dibakar hidup-hidup.
“Di sana nak cari kerja susah, saya datang ke sini Alhamdulillah sedikit sebanyak dapat cari duit untuk meneruskan kehidupan…saudara saya pun ramai sudah meninggal dunia, dan beberapa hari lepas dua kampung di sana dibakar,” katanya yang bekerja sebagai pemotong rumput di sebuah syarikat swasta. – Bernama
The post DUN Ajil lancar tabung kemanusiaan Rohingya appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan