ECRL: Menteri akui syarikat RM2 nak bina landasan kereta api
KUALA LUMPUR, 8 Safar 1438H, Selasa – Jabatan Perdana Menteri mengakui syarikat RM2 yang menandatangani perjanjian dengan firma dari China – China Communication Construction Company Ltd (CCCC) – bagi melaksanakan projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) bernilai RM55 bilion.
Menterinya, Datuk Abdul Rahman Dahlan, berkata tidak ada masalah dengan Syarikat Malaysia Rail Link Sdn Bhd bermodalkan RM2 untuk menandatangani projek ECRL kerana Kementerian Kewangan berada di belakangnya.
“ECRL adalah syarikat yang diwujudkan sebagai ‘special purpose vehicle’ (SPV) yang dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan Malaysia walaupun bermodalkan RM2, tetapi kerajaan Malaysia berada di belakangnya.
“Tak timbul isu langsung siapa yang tubuh syarikat, yang penting siapa dibelakangnya,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini, sebagai mengulas kenyataan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, mengenai syarikat itu dan kos projek yang meningkat daripada RM46 bilion kepada RM55 bilion.
Semalam, Rafizi juga berkata, semakan terhadap dokumen penubuhan syarikat Malaysia Rail Link Sdn Bhd mengesahkan saham RM2 dipegang oleh Ahmad Suhaimi Endut dan Dr Yusof Ismail, kedua-dua mereka adalah pegawai kanan berpangkat Timbalan Setiausaha di Kementerian Kewangan.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga mempertikaikan langkah itu kerana dalam pada hutang 1MDB masih belum berbayar, Datuk Seri Najib Razak kini membuat hutang baharu berjumlah RM55 bilion dengan China bagi pelaksanaan projek ECRL itu.
Beliau berkata, Najib melakukan perbuatan bodoh dengan membuat hutang baharu, tetapi tidak menyelesaikan hutang lama yang ditanggung oleh 1MDB.
Abdul Rahman juga berkata, kos berkenaan meningkat RM9 bilion kerana kerajaan setuju laluan asal dari Gombak ke Tumpat diubah suai iaitu dari Pelabuhan Klang ke Tumpat.
Katanya, kos membina landasan itu dari Gombak ke Tumpat ialah RM46 bilion dan RM9 bilion lagi ditambah bagi laluan Pelabuhan Klang ke Gombak.
“Laluan dari Gombak ke Port Klang belum diputuskan, tetapi mengikut kajian laluan itu lebih kurang 88 kilometer… maka kosnya agar besar kerana pengambilan tanah dan sebagainya, maka kosnya lebih kurang RM9 billion,” katanya.
BERITA BERKAITAN
KEMAS KINI: Najib sedang buat kerja lebih teruk daripada 1MDB, kata Tun Dr Mahathir
The post ECRL: Menteri akui syarikat RM2 nak bina landasan kereta api appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan