Hadi Awang bentang usul RUU 355 di Dewan Rakyat
PUTRAJAYA, 24 Safar 1438H, Khamis – Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini membentangkan usul rang undang-undang (RUU) persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (RUU 355) di Dewan Rakyat.
Usul itu berada pada kedudukan keenam Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul Dewan Rakyat serta mula dibentangkan Presiden PAS itu pada jam 12.20 tengah hari.
Beliau bagaimanapun mencadangkan usul berkenaan dibahaskan pada persidangan Dewan Rakyat akan datang di bawah Peraturan Mesyuarat 15 (5).
Hadi ketika membentangkan usul itu berkata, tujuan pindaan dibuat adalah untuk menggantikan peruntukan dalam undang-undang sedia ada.
Katanya, jika berjaya dipinda, Mahkamah Syariah akan mempunyai kuasa ke atas penganut agama Islam dan dalam hal-hal kesalahan di bawah perkara yang disenaraikan dalam butiran 1 Senarai Negeri, di bawah jadual kesembilan Undang-Undang Persekutuan.
Selain itu jelas Hadi, ia juga bertujuan untuk memasukkan seksyen 2A iaitu dalam menjalankan undang-undang jenayah di bawah seksyen 2, Mahkamah Syariah berhak menjatuhkan hukuman yang dibenarkan oleh undang-undang syariah berkaitan hal-hal kesalahan yang disenaraikan di bawah seksyen yang disebutkan, selain hukuman mati.
Sidang Dewan Rakyat akan berakhir hari ini selepas berlangsung sejak 17 Oktober lalu.
The post Hadi Awang bentang usul RUU 355 di Dewan Rakyat appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan