Hukuman penjara sebulan, denda RM1,000 Tian Chua kekal

bartianchua

KUALA LUMPUR, 30 Safar 1438H, Rabu – Mahkamah Tinggi di sini mengekalkan hukuman penjara sebulan dan denda RM1,000 terhadap Naib Presiden PKR, Tian Chua yang didapati bersalah tidak mematuhi perintah polis supaya beredar dari kawasan larangan di Pusat Latihan Polis Diraja Malaysia (Pulapol) di sini, empat tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Nordin Hassan membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Tian Chua atau nama sebenarnya Chua Tian Chang, 53, terhadap sabitan dan hukuman itu yang dijatuhkan hakim Mahkamah Sesyen pada 23 Januari 2014.

Nordin dalam penghakimannya berkata alasan hakim Mahkamah Sesyen ketika menjatuhkan hukuman terhadap Tian Chua adalah sah dan memadai.

“Walaupun alasan penghakiman hakim Mahkamah Sesyen tidak ditandatangani dan tidak bertarikh tetapi bukanlah suatu ketidakadilan mengikut Seksyen 422 Kanun Prosedur Jenayah (luar aturan tidak membatalkan prosiding),” katanya.

Nordin juga berkata kenyataan pembelaan oleh perayu (Tian Chua) hanyalah bersifat penafian semata-mata dan pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pendakwaan.

Mahkamah itu bagaimanapun membenarkan permohonan Tian Chua untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sehingga rayuan akhirnya diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.

Tian Chua, yang juga Anggota Parlimen Batu, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tidak mematuhi perintah pegawai polis DSP A. Rajagopal untuk beredar dari kawasan yang diisytiharkan sebagai kawasan larangan mengikut Perintah Kawasan-Kawasan Larangan 1975.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pulapol, Jalan Semarak, di sini pada 2.30 pagi 29 April 2012, iaitu sehari selepas perhimpunan Bersih 3.0.

Dia didakwa mengikut Seksyen 4(2) Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959 (Akta 298) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 7 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya.

Tian Chua diwakili peguam Shahid Adli Kamarudin manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nadia Hanim Mohd Tajuddin. – Bernama

The post Hukuman penjara sebulan, denda RM1,000 Tian Chua kekal appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?