ISESCO anjur bengkel penyediaan bahan pengajaran Bahasa Arab
BANGI, 14 Safar 1438H, Isnin – Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Islam (ISESCO) di Malaysia akan menganjurkan bengkel penyediaan bahan pengajaran bahasa Arab dari 21-25 Nov ini di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) di sini.
Pengarah ISESCO Malaysia, Dr Abdul Razif Zaini berkata, bengkel yang diadakan dua kali setahun ini menyasarkan sekurang-kurangnya 60 penyertaan daripada guru-guru sekolah dan pensyarah universiti yang bernaung di bawah Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia.
Bengkel yang dianjurkan ISESCO dengan kerjasama KUIS bertujuan memberi latihan khusus kepada pengajar sama ada yang bernaung di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia atau pihak yang terlibat dengan pengajaran bahasa Arab termasuk dari Asia Tenggara.
“Selain itu, ia juga bagi mendedahkan guru-guru kepada pembelajaran bahasa Arab khususnya dalam konteks penjanaan bahan pengajaran dan penilaian pencapaian pelajar bukan penutur jati,” kata beliau ketika ditemui Bernama di pejabat ISESCO Malaysia di sini, baru-baru ini.
Selain peserta negara tuan rumah, peserta dari Brunei, Indonesia, Vietnam, Kemboja, Thailand dan China akan turut menghadiri bengkel itu.
ISESCO beribu pejabat di Rabat, Maghribi dengan KUIS di sini berperanan sebagai pejabat cawangan pertubuhan itu. – Bernama
The post ISESCO anjur bengkel penyediaan bahan pengajaran Bahasa Arab appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan