Jangkitan virus Zika terkawal
KUALA LUMPUR, 11 Safar 1438H, Jumaat – Kes jangkitan virus Zika yang dibawa oleh nyamuk Aedes semakin terkawal apabila sejak September lalu, hanya tujuh kes yang dilaporkan positif di negara ini, kata Ketua Sektor Penyakit Bawaan Vektor Kementerian Kesihatan, Dr Rose Nani Mudin.
Mengulas lanjut beliau berkata, terdapat 200 kes yang mempunyai gejala dan tanda-tanda jangkitan Zika, namun kesemuanya menunjukkan keputusan ujian yang negatif.
“Sepanjang Oktober lalu sehingga hari ini, tiada kes terbaharu dilaporkan dan ini bermakna jangkitan ini berjaya kita kawal namun masih perlukan pengawasan sepenuhnya.
“Bagaimanapun, terdapat dua kes jangkitan virus tersebut melibatkan ibu mengandung dan kita masih belum dapat mengenalpasti sama ada bayi dalam kandungan mengalami microcephaly, iaitu satu keadaan yang mengakibatkan bayi dilahirkan dengan kepala bersaiz kecil,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Anugerah Program Patrol Denggi 2016 anjuran Kementerian Pendidikan di sini, hari ini.
Sehubungan itu, beliau berkata, rakyat negara ini bebas untuk mengunjungi mana-mana negara yang berlaku penularan virus zika terutamanya Singapura berikutan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tidak mengeluarkan sebarang arahan dan larangan.
Beliau bagaimanapun berkata, rakyat perlu berhati-hati dan memastikan mereka tidak digigit nyamuk.
The post Jangkitan virus Zika terkawal appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan