Kalau DAP boleh terima Tun M, UMNO boleh terima PAS: Annuar Musa
Politik adalah di atas ‘possibilities’, politik adalah satu seni yang berpelbagai kemungkinan. – Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa.
“(Allahyarham) Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah mengingatkan bahawa jika UMNO menerima Islam, kita bersedia membubarkan PAS” – Mursyidul Am PAS, Ustaz Hashim Jasin. (Harakah 8 Safar 1438H)
KUALA LUMPUR, 21 Safar 1438H, Isnin – “Kalau DAP boleh menerima Tun Dr Mahathir (Mohamad), tidak mustahil kemungkinan UMNO menerima PAS dan PAS menerima UMNO untuk bekerjasama,” kata Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa.
Beliau berkata, ini kerana kedua-dua parti mempunyai asas perjuangan yang sama, menjunjung cita-cita sama dan lahir daripada ‘DNA’ yang sama.
“Politik adalah di atas ‘possibilities’, politik adalah satu seni yang berpelbagai kemungkinan. Saya percaya antara parti politik (UMNO dan PAS) yang menjunjung cita-cita dan dasar perjuangan yang sama. Dia tidak bergerak dalam bentuk ‘parallel’ dan saya yakin akan ada satu titik pertemuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi penceramah Sesi Keempat: Diskusi Politik pada Konvensyen Pemerkasaan Agenda Ummah (K-PAU) 2.0 yang dipengerusikan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Razali Ibrahim di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini semalam.
Annuar berkata, kedua-dua parti mempunyai banyak titik persamaan iaitu perjuangan terhadap agama, selain ingin melihat keamanan, kesejahteraan dan kedudukan Islam pada kedudukan terunggul.
Pada diskusi sama, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata usul mewujudkan kerjasama politik UMNO dan PAS akan dibawa sebagai agenda utama untuk dibahaskan pada Perhimpunan Agung UMNO, 29 November hingga 3 Disember ini.
Katanya, langkah mewujudkan kerjasama politik antara kedua-dua parti itu perlu dilaksanakan dalam usaha memperkukuh hubungan serta perpaduan Melayu-Islam di negara ini, kerana ia adalah satu tuntutan yang disebut di dalam al-Quran bagi memastikan survival umat Islam secara keseluruhannya.
“Usul ini akan dibawa sebagai agenda utama untuk dibahaskan pada Perhimpunan Agung UMNO nanti,” katanya ketika menjadi speaker sesi ketiga: Diskusi Agama pada Konvensyen Pemerkasaan Agenda Ummah 2.0, di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini hari ini.
Sebelum ini, Mursyidul Am PAS, Ustaz Hashim Jasin berpendapat kerjasama politik adalah satu pendekatan yang sangat penting dalam menjatuhkan kezaliman kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum akan datang.
Bagaimanapun, katanya, sebagai sebuah parti yang berasaskan Islam dan mempunyai pengalaman yang luas dalam politik dan pilihan raya di negara ini, PAS tidak akan mengadakan kerjasama politik yang tidak menguntungkan Islam.
“(Allahyarham) Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah mengingatkan bahawa jika UMNO menerima Islam, kita bersedia membubarkan PAS. Inilah prinsip kerjasama yang dipimpin oleh Islam yang menjadikan penerimaan terhadap Islam sebagai syarat kerjasama. Pihak yang menentang Islam atau mengkhianati Islam tidak layak bekerjasama dengan PAS,” katanya.
Ketua Dewan Pemuda PAS, Nik Abduh Nik Aziz pula sebelum ini dilaporkan berkata, ada dua pihak yang benar-benar mahukan PAS dan UMNO bersatu.
“Pertama, yang mahukan UMNO kekal memerintah dan PAS turut berada dalam kerajaan campuran sebagai rakan. Dengannya UMNO-BN kekal selamat.
“Kedua, yang mahukan PAS hancur bersama UMNO akibat bersekongkol dengan kerosakan dan kezaliman UMNO-BN yang kian ditolak rakyat. Dengannya, mereka akan berjaya membina kerajaan baru tanpa PAS dan perjuangan Islam.
“Saya berkata, PAS terlalu menyedari tipu daya dan makar ini. PAS tidak akan terjebak dengan politik murahan yang terlalu ‘kedarah kuasa’ sebegini. Bahkan PAS akan sentiasa memburu kuasa politik dengan sejahtera dan berdisiplin tinggi tanpa merosakkan kesatuan umat dan segala kebaikan yang telah sedia tumbuh mekar di bumi Malaysia ini,” katanya.
The post Kalau DAP boleh terima Tun M, UMNO boleh terima PAS: Annuar Musa appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan