Kami tak mempergunakan agama untuk politik: Dewan Ulama PAS
Oleh Athirah Huda Zalhe
PUTRAJAYA, 12 Safar 1438H, Sabtu – Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali at-Takiri membidas tohmahan segelintir pihak yang menyifatkan parti Islam itu mempergunakan agama untuk kepentingan politik.
Tegasnya, persepsi dan terma itu sering digunakan oleh beberapa parti termasuk individu bagi menyerang PAS dan ‘ustaz’ yang menyertai politik.
“Ia adalah satu tohmahan kepada kita kerana kita berpolitik mengikut Islam. Bererti, kita menggunakan Islam untuk politik, bukan mempergunakan Islam bagi kepentingan politik.
“Saya bercakap bagi pihak saya dan PAS, segala tindak-tanduk kepolitikan dan strategi PAS bagi mendapatkan kuasa pada pilihan raya adalah dibahas oleh satu majlis yang dipanggi Majlis Syura Ulama.
“Kita tidak akan meluluskan sebrang strategi melainkan ia dipastikan tidak bercanggah dengan syarak,” katanya pada sesi pembentangan kertas kerja Muzakarah Ulama MUIS: Aplikasi Maqasid Siyasah Syar’iyyah dalam Konteks Malaysia di sini, hari ini.
Beliau berkata, sepatutnya sesebuah parti itu perlu tunduk dan menjadi alat kepada agama, dan meletakkan Islam sebagai matlamat utama.
“Maka, parti adalah alat manakala agama menjadi matlamat. Matlamat untuk menegakkan agama maka itu kita wajib tunduk kepada agama, dan menjadikan parti sebagai alat mendapatkan kuasa.
“….tetapi tujuan kita adalah menegakkan agama menerusi peruntukan Perlembagaan,” katanya.
The post Kami tak mempergunakan agama untuk politik: Dewan Ulama PAS appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan