KATA PEDANG: Optimis RUU 355 diluluskan hari ini
CADANGAN pindaan Akta 335 (RUU 355) memerlukan sekurang-kurangnya 112 undian di kalangan Ahli Parlimen untuk diluluskan setelah dibentang kali kedua hari ini.
Berdasarkan bilangan Ahli Parlimen keseluruhannya 222 orang dan yang beragama Islam seramai 132 orang, Pedang optimis RUU 355 akan diluluskan.
Maknanya, kalau betul Ahli Parlimen daripada parti PAN menolak usul ini pun tidak mengapa. Biarkan mereka duduk sekapal dengan pemimpin bukan Islam seperti MCA dan DAP yang lain.
Cuma apa yang merisaukan ialah undian tidak dapat dijalankan hari ini berikutan perbahasan panjang lebar.
Besar kemungkinan ia akan ditangguhkan ke sesi Sidang Parlimen yang seterusnya memandangkan hari ini adalah hari terakhir sidang yang telah bermula sejak 17 Oktober lepas.
Apapun, perkembangan ini telah menafikan dakwaan mengatakan bahawa UMNO tidak akan membenarkan RUU 355 dibentangkan seterusnya UMNO telah menipu PAS.
Hakikatnya, PAS tidak ditipu oleh UMNO kali ini. Kaki tipu sebenar adalah orang yang membuat tuduhan tak betul bertujuan menakut-nakutkan dan memburukkan sesama parti orang Islam.
Apabila UMNO beri laluan kepada PAS, ada pula pemimpin PAN menuduh UMNO mengadakan ‘kerjasama sulit’ dengan PAS.
La Haula Wala Quwwata Illa Billah!
Apakah masalahnya jika UMNO dan PAS bekerjasama dalam mempertingkatkan kuasa mahkamah syariah untuk kebaikan Islam di Malaysia?
Bukankah kerjasama ini yang wajar ada sejak dahulu lagi untuk memperjuangkan martabat agama dan nasib anak bangsa di peringkat politik dan pentadbiran negara?
Harapnya Khalid Samad bertaubat daripada prasangka buruk terhadap sesama umat Islam dan tidak hanya bersikap rahmah kepada pemimpin parti bukan Islam, khususnya parti rasis dan cauvinis DAP yang konsisten dengan perjuangan anti-Islam dan anti-Melayu.
Mengenai MCA dan Gerakan pula, Pedang lihat mereka hanya bising dalam isu menentang kedaulatan Islam dan membisu dalam isu salah guna kuasa oleh Malaysian Official One dalam kes 1MDB.
Mereka telah menunjukkan contoh tidak baik kepada rakyat bukan Islam yang lain apabila tidak berterima kasih kepada orang Melayu Islam yang sudi menerima taraf kewarganegaraan datuk nenek moyang mereka di zaman awal kemerdekaan dahulu.
Mereka sepatutnya menyokong RUU 355 sebagai tanda penghargaan dan terima kasih atas jasa orang Melayu selama ini hingga bangsa mereka boleh hidup aman dan kaya raya.
Begitulah cara mengenang budi. Ini tidak, mereka terus membantah cadangan yang tidak melibatkan orang bukan Islam pun, dan mengugut akan meletakkan jawatan Menteri Kabinet yang diperoleh atas rasa belas ehsan oleh Perdana Menteri.
Pedang akan berkempen supaya orang Melayu tidak lagi memberikan undi kepada mereka kerana mereka tidak memperjuangkan hak orang Islam yang tinggal di kawasan Parlimen yang diwakilinya. Biar MCA dan Gerakan terkubur pada PRU akan datang.
Sekalung tahniah diucapkan kepada Sekretariat Ummat, sebuah jawatankuasa gabungan NGO Islam dan Melayu yang berterusan berkempen sehingga ke hari ini. Dilaporkan mereka berkumpul di kawasan Parlimen hari ini bagi mendesak Ahli Parlimen menyokong RUU 355.
Kata Pedang: Apabila RUU 355 diluluskan lewat hari ini, kita perlu sujud syukur kepada Allah dan harapkan tiada kekacauan akan berlaku dan berdoa agar Malaysia terus aman damai di bawah naungan Islam.
Penafian: Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang Ismaweb.net. Pandangan yang diberikan dalam ruang Kata Pedang tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana.
The post KATA PEDANG: Optimis RUU 355 diluluskan hari ini appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan