Keadaan kesihatan Datuk Kazim semakin baik
KUALA LUMPUR 8 Safar 1438H, Selasa – Pendakwah terkenal, Datuk Mohd Kazim Elias dilaporkan sudah beransur pulih selepas beliau menerima rawatan di sebuah hospital swasta sejak beberapa hari lalu.
Menerusi catitan di laman Instagramnya, beliau memaklumkan bahawa pendarahan dalam ususnya sudah pun berhenti dan beliau tidak lagi muntah-muntah serta sudah berhenti makan ubat mencairkan darah, namun terdapat komplikasi lain pula yang berlaku.
“Ubat mencairkan darah ini dihentikan buat sementara bagi menghentikan pendarahan di bahagian usus saya.
“Masalahnya kini, apabila ubat mencairkan dihentikan, ada pula kesan kepada jantung, esok doktor akan memberikan ubat baru yang boleh bantu selesaikan masalah jantung dan ulser saya,” tulisnya.
Sabtu lalu, beliau dikejarkan ke hospital selepas mengadu penat dan tidak sihat di rumahnya.
Katanya, beliau terlalu banyak bekerja dan tidak mendapat rehat yang secukupnya membuatkan kesihatannya terganggu.
“Sudah lama saya tahan sakit ini demi dakwah, namun Sabtu lepas memang tak dapat tahan. Doktor cakap rohani saya kuat tapi jasmani saya tak kuat.
“Daripada penerangan doktor juga, nampaknya seperti lama lagi saya harus dirawat di hospital.
“Bagaimanapun, syukur kerana boleh saya merehatkan diri seketika. Terima kasih kepada yang mendoakan saya,” katanya.
The post Keadaan kesihatan Datuk Kazim semakin baik appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan