Kebodohan mengimport hipokrasi demokrasi AS

hillary-dan-trump-perang-di-twitter-csi37bsipt

MINGGU ini Amerika Syarikat (AS) sibuk dengan proses pengundian bagi memilih presiden baru.

Kebejatan moral kedua-dua calon utama memang sudah diketahui umum jadi janganlah berharap untuk melihat masa depan dunia dan seisinya akan menjadi lebih baik bagi tempoh empat tahun akan datang.

Saban pemilihan sebelum ini, siapapun yang naik, hakikatnya nasib manusiawi hanya kian merudum. Inilah nilai sebenar demokrasi buatan AS yang terus dipaksakan ke serata dunia.

Sistem pemilihan presiden AS sendiri adalah satu proses yang agak kompleks bagi orang kebanyakan.

Pelbagai peringkat disusun bermula daripada saringan calon parti melalui undi perwakilan, konsep superdelegates yang berkuasa, pendekatan bolot undi dalam sistem electoral college, peranan mahkamah jika keputusan tidak konklusif serta peranan penentu negeri-negeri undi seimbang (swing states) yang sering menjadi fokus strategi calon-calon utama.

Prosesnya nampak ‘canggih’ tetapi adakah ia boleh dijadikan model demokrasi yang adil dan berintegriti?

Menurut indeks penilaian sebuah laporan akademik kelolaan Universiti Harvard dan University Sydney yang bertajuk Electoral Integrity Project (EIP), AS hanya berada di tangga ke-47 dalam senarai 139 negara, tercorot dalam kalangan negara-negara Barat.

Menurut laporan tersebut, pilihanraya di negara juara demokrasi ini bermasalah dari sudut undang-undang pemilihan, sistem pendaftaran pengundi, persempadanan kawasan dan peraturan pendanaan kempen politik.

Sistem electoral college yang serba kontroversi masih digunakan sehingga kini sejak ia dimulakan pada kurun ke-18 lagi. 

Sistem kolot ini menjadikan para pengundi tidak memilih presiden secara terus, sebaliknya mengundi sekumpulan perwakilan untuk memilih calon presiden bagi pihak mereka dan para perwakilan ini tidak pula terikat dari segi undang-undang untuk memilih presiden berdasarkan mandat yang diberi rakyat.

Nilai undi rakyat terus terhakis apabila para perwakilan ini terikat berdasarkan sempadan negeri. Contohnya, jika negeri ini mempunyai 10 perwakilan dan 6 daripada mereka memilih calon A, kesemua 10 perwakilan akan dikira sebagai memilih calon A.

Kepincangan ini membuatkan jentera kempen setiap calon memberi tumpuan lebih kepada negeri-negeri undi seimbang kerana peluang untuk membolot keseluruhan undi perwakilan.

Sistem pemilihan di AS dikekalkan sebegitu rupa sejak sekian lama kerana bertujuan untuk memastikan keputusannya boleh dikawal dan ditentukan.

Ini dicapai tanpa menghilangkan ilusi yang para pengundi benar-benar diberi kuasa memilih pemimpin dalam amalan demokrasi paling subur.

Hakikatnya kelompok plutokrat dan kapitalis adalah pemain utama di belakang wayang ini.

Ini terbukti apabila kempen pemilihan presiden 2016 kali ini menjadi medan perjudian puluhan billionaire dan jutawan ‘menderma’ bagi tujuan mempengaruhi keputusan pemilihan.

Ini berikutan keputusan Mahkamah Agung mengangkat segala sekatan dan had ke atas pengumpulan dana korporat dan juga perbelanjaan bagi kempen politik. Jutaan dolar yang disumbangkan ini hanyalah pajakan bagi para kapitalis ini bagi memastikan kepentingan kewangan dan kuasa mereka terus terjaga.

Natijahnya, seluruh penduduk dunia terus menanggung akibat daripada amalan sistem yang serba pincang ini.

Sebagai negara kuasa utama dunia, sesiapa yang berjaya memegang pemimpin bonekanya bermakna akan dapat mempengaruhi secara langsung perjalanan hal ehwal dunia, terutamanya dalam polisi politik dunia dan perdagangan, supaya terus selari dengan keperluan dan kepentingan kelompok elit ini.

Sebagai contoh, calon utama kali ini, Hillary Clinton, diketahui umum sebagai amat rapat dengan George Soros dan keluarga Rothschild.

Soros adalah antara pendana utama, jika bukan yang paling besar, kempen Hillary.

Dana kempen tersebut disalurkan secara terus selain melalui pelbagai yayasan dan ‘organisasi bebas’ lain.

Semasa Hillary memegang jawatan Setiausaha Negara, mereka telah dilaporkan memberi nasihat dan cadangan tindakan dalam beberapa episod melibatkan beberapa negara bermasalah.

Tangan-tangan yang sama di belakang pemilihan ini jugalah yang menjangkau ke pelbagai negara lain untuk mempengaruhi hasil pilihanraya di sana, tidak lain dengan tujuan yang sama iaitu membina jaringan boneka yang akan memastikan penerusan kepentingan mereka.

Setiap dolar yang dihulurkan, setiap bantuan latihan yang dianjurkan, setiap sesi konsultasi yang diadakan pasti ada harga yang perlu dibalas di kemudian hari.

Bantuan yang dilihat kecil pada hari ini adalah permulaan kepada sesuatu yang lebih besar, bagaimana sekalipun pihak yang menerima cuba menafikan dan memperkecilkan impak buruknya.

Janganlah berlakon bodoh untuk mengatakan bahawa yayasan atau badan tajaan kelompok elit ini menghulurkan bantuan kerana cakna dengan nasib kita rakyat biasa, baik berkenaan keadaan sosioekonomi negara ini mahupun sistem pilihan raya kita.

Jikapun mereka begitu ikhlas dan prihatin, negara dan rakyat pertama yang perlu mereka cakna dan bantu sebenarnya ialah AS sendiri.

Jika rakyat AS sendiri boleh diperalatkan dengan wayang pilihanraya mainan golongan ini, bagaimana mungkin kita boleh mengharapkan agenda mereka bertukar menjadi suci di sini? Kita mungkin tidak berkemampuan apa-apa untuk merubah proses pemilihan presiden di AS, tapi tentunya kita boleh dan wajar bertindak segera terhadap pihak yang tergamak membuka pintu kepada kuasa belakang tabir ini.

Umar Hakim Mohd Tajuddin
Aktivis Isma

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Melayu dan Islam sederhana mahupun pendirian rasmi Portal Islam dan Melayu (Ismaweb.net).

The post Kebodohan mengimport hipokrasi demokrasi AS appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?