Keganasan Baju Merah peluang kerajaan kuat kuasa Akta MKN

tun-mm

BANGI, 7 Safar 1438H, Isnin – Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan penentangan kumpulan Baju Merah terhadap baju Kuning yang memperjuangkan pilihan raya bersih, menunjukkan pihak diketuai Datuk Seri Jamal Md Yunos mahukan pilihan raya yang kotor.

Selain itu, bekas Perdana Menteri juga berkata, keganasan kumpulan Baju Merah terhadap Baju Kuning boleh mencetuskan huru-hara, sekali gus membuka peluang kepada kerajaan menguatkuasakan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Kita sedang melihat perang baju – kuning lawan merah. Kuning berjuang untuk membersihkan pilihan raya. Baju merah yang menentangnya tentulah berjuang untuk pilihan raya yang kotor.

“Oleh kerana kekotoran yang dipertahan oleh baju merah ialah kekotoran Kerajaan, maka merah bersetuju dengan tuduhan baju kuning bahawa Kerajaan bergantung kepada yang kotor untuk menang pilihan raya,” katanya menulis dalam blog beliau, hari ini.

Sehubungan itu, katanya, Datuk Seri Najib Razak boleh menggunakan kuasanya untuk mengisytihar keadaan keselamatan dalam mana-mana kawasan yang berada dalam keadaan bahaya.

Tun Dr Mahathir berkata, apabila undang-undang ini dikuat kuasa dalam mana-mana kawasan, maka kerajaan berhak menangkap dan memasuk dalam tahanan sesiapa sahaja tanpa bicara.

Malah, katanya, jika orang itu atau siapa sahaja terbunuh ketika penguatkuasaan undang-undang itu dijalankan, mahkamah tidak perlu mengadakan inkuest ke atas si mati dan keluarga si mati juga tidak boleh meminta daripada mahkamah supaya sebab-sebab kematian diberitahu kepada mereka.

“Mana-mana pihak yang membuat salah semasa menjalankan tugas tidak boleh didapati bersalah oleh mana-mana pihak.

“Tindakan baju merah menyerang baju kuning boleh mencetuskan huru-hara dan kacau-bilau di mana-mana kawasan. Keadaan ini boleh menjadi alasan undang-undang sekuriti dikuatkuasakan di mana-mana sahaja,” katanya.

Tun Dr Mahathir berkata, sehingga kini baju kuning tidak membalas keganasan baju merah, tetapi besar kemungkinan baju merah akan berjaya merusuh dengan baju kuning pada 17-19 November ketika Bersih berhimpun untuk mengadakan demonstrasi.

“Jika tidak ada rusuhan pada hari-hari tersebut pun, Kerajaan masih boleh kuatkuasakan undang-undang sekuriti atas sebab ramalan akan berlaku rusuhan.

“Sedikit sebanyak baju merah sudah berjaya mempengaruhi Dewan Bandaraya. Kerana baju merah bercadang mengadakan tunjuk perasaan di Dataran Merdeka pada hari dan jam yang sama Bersih berdemonstrasi, maka Bandaraya sudah melarang sebarang tunjuk perasaan dari diadakan di Dataran Merdeka,” katanya.

Secara menyindir, Tun Dr Mahathir berkata, melalui ugutan tunjuk perasaan baju merah sudah secara tidak langsung mengambil alih kuasa kerajaan.

“Saya ucap tahniah kepada Jamal kerana sudah jadi de facto PM Malaysia. Sementara badan Hasil Dalam Negeri sudah menjadi terrorist yang menyerang siapa sahaja kerana dapat bonus, Jamal Red Shirt sudah menjadi pengganas jalanan yang menyumbang kepada keamanan negara. Syabas Dato. Bila nak dapat Tan Sri?,” katanya.

The post Keganasan Baju Merah peluang kerajaan kuat kuasa Akta MKN appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?