Kelahiran pra-matang: Apa yang anda perlu tahu
KELAHIRAN bayi merupakan saat yang amat dinanti-nantikan oleh kesemua ibu bapa yang bakal menimang cahaya mata, terutama mereka yang bakal melahirkan anak sulung.
Namun, ada kalanya, bayi boleh dilahirkan terlalu awal dari tarikh kelahiran yang dijangka, atau pra-matang, yang boleh mengakibatkan pelbagai komplikasi.
Kelahiran bayi pra-matang didefinisikan sebagai kelahiran dari kandungan ibunya yang berumur kurang daripada 37 minggu.
Di Malaysia, kira-kira 60000 bayi dilahirkan pramatang setiap tahun, iaitu lebih kurang 12% daripada 500,000 kelahiran bayi di negara kita.
Jumlah ini merupakan satu angka yang agak besar dan melibatkan kos yang tinggi serta menyumbang kepada statistik salah satu penyebab utama kematian bayi di Malaysia khususnya dan di dunia amnya.
Terdapat pelbagai faktor yang boleh menyebabkan kelahiran bayi pra-matang, antaranya adalah masalah kesihatan ibu mengandung (seperti ‘gestational diabetes’ dan tekanan darah tinggi), jangkitan kuman (seperti ‘urinary tract infection’ dan ‘chorioamnionitis), sejarah kelahiran bayi pra-matang, ibu mengandung yang merokok atau mengambil dadah dan juga masalah serviks yang lemah.
Namun, masih banyak kelahiran bayi pra-matang ini tidak dapat dikenalpasti puncanya.
Bayi pra-matang boleh dibahagikan kepada tiga kategori utama:
- Teramat pra-matang (extreme preterm)
– Bayi yang dilahirkan kurang dari 28 minggu kandungan
- Amat pra-matang (very preterm)
-Bayi yang dilahirkan antara kandungan 28 ke <32 minggu
- Akhir pra-matang (moderate to late preterm)
– Bayi yang dilahirkan antara kandungan 32 ke <37 minggu
Bayi yang dilahirkan pra-matang berhadapan dengan risiko mendapat banyak komplikasi awal dan seterusnya.
Lebih awal bayi itu dilahirkan, lebih tinggi risiko bayi tersebut mendapat komplikasi dan masalah kesihatan. Berikut adalah antara komplikasi utama yang boleh berlaku kepada bayi pra-matang ini:
- Masalah pernafasan
-‘Respiratory Distress Syndrome’ merupakan satu masalah pernafasan yang disebabkan oleh kekurangan ‘surfactant’ di dalam paru-paru bayi pra-matang. ‘Surfactant’ merupakan sejenis bahan kimia yang terdapat di dalam paru-paru yang berfungsi untuk melancarkan pengembangan alveoli dan membolehkan pertukaran gas oksigen dan karbon dioksida berlaku dengan baik.
- Pendarahan dalam otak
– Bayi pra-matang mempunyai salur darah di dalam otak yang belum matang sepenuhnya, menyebabkan risiko pendarahan yang lebih tinggi berbanding bayi yang dilahirkan matang. Akibatnya, pendarahan dalam otak akan berlaku, yang mana sekiranya tidak dirawat, boleh menyebabkan komplikasi jangka masa panjang seperti masalah pembelajaran dan ‘cerebral palsy’.
- Kurang gula dalam darah
– Kandungan gula yang optimum di dalam darah adalah penting bagi memastikan sel-sel badan dapat berfungsi dengan baik, terutamanya sel-sel otak. Sebaik sahaja bayi dilahirkan, hati bayi akan menghasilkan kadar gula secukupnya untuk keperluan badan mereka, yang sebelum ini diperolehi melalui uri daripada ibu. Bayi yang dilahirkan pra-matang selalunya mempunyai hati yang masih belum dapat berfungsi dengan baik serta berat badan yang rendah, oleh itu tidak dapat menghasilkan kadar gula yang mencukupi dalam darah.
- Masalah suhu badan rendah
– Kebanyakan bayi yang dilahirkan pra-matang mempunyai berat badan yang rendah (kurang daripada 2.5 kg) dan mempunyai peratusan lemak badan yang agak sedikit berbanding bayi yang dilahirkan matang. Oleh itu, mereka kurang upaya untuk mengekalkan suhu badan yang optimum. Akibatnya, bayi pra-matang berisiko menghadapi ‘hypothermia’ atau suhu badan yang rendah menyebabkan sel-sel badan tidak dapat berfungsi dengan baik, sekaligus mengakibatkan kegagalan organ-organ vital seperti jantung dan buah pinggang.
- Jangkitan kuman dalam darah
– Bayi pra-matang mempunyai sistem imun badan yang rendah berbanding bayi matang, menyebabkan mereka lebih berisiko untuk mendapat jangkitan kuman yang boleh membawa kepada kematian.
- Masalah penghadaman
– Bayi pra-matang juga mempunyai sistem penghadaman yang belum matang sepenuhnya, dan berisiko untuk mendapat ‘necrotising enterocolitis’ apabila mereka mula menyusu. Bagi mengurangkan risiko mendapat penyakit ini, susu ibu adalah pilihan yang terbaik.
Bayi pra-matang memerlukan penjagaan yang sangat rapi, terutama di peringkat awal, iaitu sebaik sahaja mereka dilahirkan.
Sekiranya mereka berjaya mengharungi fasa kritikal ini, kebanyakan bayi masih berhadapan dengan risiko komplikasi jangka masa panjang, contohnya masalah paru-paru kronik, masalah penglihatan dan masalah pembelajaran.
Oleh itu, adalah amat penting untuk para doktor dan staf kesihatan meneruskan pemantauan bayi-bayi pra-matang secara berkala selepas mereka dibenarkan pulang ke rumah dari hospital.
Prognosis untuk setiap bayi yang dilahirkan pra-matang bergantung kepada jangkamasa kandungan mereka. Lebih lama bayi berada di dalam kandungan ibu, peluang mereka untuk hidup dengan baik adalah lebih cerah.
Namun, dengan kemajuan teknologi perubatan yang ada di Malaysia pada abad ini, ramai bayi yang dilahirkan pra-matang telah berjaya menikmati peluang hidup yang lebih cerah dan tahap kesihatan yang lebih baik.
Dr Nik Shahrina Binti Nik Ahmad Ariff
Pegawai Perubatan Paediatrik Hospital Raja Perempuan Zainab II
Penafian: Artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Isma, sebuah pertubuhan Islam sederhana dan Ismaweb.net
The post Kelahiran pra-matang: Apa yang anda perlu tahu appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan