‘Keldai dadah’ menular di Sarawak
KUCHING, 11 Safar 1438H, Jumaat – Polis Sarawak mendedahkan, wujud sindiket tertentu di negeri ini yang cuba menjerat gadis sebagai ‘keldai dadah’.
Pesuruhjayanya, Datuk Mazlan Mansor berkata, berdasarkan modus operandi digunakan, ‘khidmat’ gadis terbabit digunakan bagi mengambil kiriman bekalan dadah oleh pihak ketiga melalui kurier atau pos untuk edaran tempatan.
“Kebanyakan gadis terbabit tidak mengetahui barangan dalam sesuatu bungkusan kurier yang diambil dari pusat mel atau pejabat pos sehingga ditahan, sebaliknya sekadar mengikut arahan mengambil bungkusan berkenaan,” kata beliau selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Negeri di Ibu Pejabat Polis Kontingen Sarawak, di sini, sebentar tadi.
Mengulas lanjut, Mazlan berkata, biarpun bukan menjadi pembawa dadah ke luar negara, trend ‘keldai dadah’ ini mula menular di Sarawak, dengan sebahagian besar gadis ini diperalatkan oleh sindiket.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan ibu bapa agar sentiasa mengawasi tingkah laku anak-anak gadis mereka, termasuk dengan sesiapa pun mereka berkawan agar tidak menjadi mangsa
Dalam pada itu, beliau berkata, tahun ini sahaja, pihaknya berjaya menumpaskan tujuh cubaan menyeludup masuk dadah ke negeri ini melalui perkhidmatan pos dan kurier.
“Ia termasuk kes terbaharu membabitkan seorang pelajar kolej swasta berusia 19 tahun yang dipercayai diperalatkan oleh teman lelakinya untuk mengambil bekalan 1.5 kilogram ganja di Pejabat PosLaju Kuching, pada 30 September lalu,” katanya.
The post ‘Keldai dadah’ menular di Sarawak appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan