Kem Bakti ceriakan penduduk Kampung Orang Asli Putra
Jelebu,13 Nov – Kehadiran hampir 100 belia daripada Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) dan Pemuda Isma cawangan Seremban bersama para penggerak dakwah masyarakat orang asli daripada Pusat Dakwah Islamiah Negeri Sembilan dalam program Kem Bakti “Ong Datang Kuk Sambut” telah memberikan kenangan yang cukup indah kepada penduduk Kampung Orang Asli Putra.
Pelbagai aktiviti menarik telah dijalankan sepanjang program yang berlangsung selama 3 hari 2 malam ini.
Antara objektif utama yang ingin dicapai melalui program ini adalah supaya masyarakat orang asli dapat menitik beratkan soal perubahan pendidikan dan kehidupan ke arah yang lebih baik berbanding keadaan sedia ada.
Di samping itu kehadiran para pelajar daripada pelbagai IPT tempatan sebagai peserta anak angkat juga untuk menjalin hubungan yang baik dan rapat di antara mahasiswa dan orang kampung.
Beberapa aktiviti utama yang menjadi tumpuan penduduk kampung adalah penyerahan anak angkat kepada keluarga angkat, sukaneka, motivasi pemuda, persembahan pentoman dan tayangan video berkenaan isu Palestin yang telah disampaikan oleh pihak Aman Palestin Berhad Cawangan Negeri embilan.
(Pertandingan futsal)
(Tayangan video isu Palestin oleh Aman Palestin Berhad Negeri Sembilan)
(Tayangan video isu Palestin oleh Aman Palestin Berhad Negeri Sembilan)
Turut hadir bagi memeriahkan lagi program ialah Ustaz Haji Zamani Ibrahim, Yang Di-Pertua ISMA Seremban.
Beliau menyatakan bahawa program ini merupakan suatu pengalaman yang mencabar dan amat bernilai kepada semua sukarelawan dan peserta.
Ustaz Zamani melahirkan harapan agar kerjasama antara NGO dan JHEAINS dapat diteruskan pada masa akan datang untuk para sukarelawan menimba ilmu dakwah.
Kem Bakti kali ini juga menyaksikan penglibatan khas daripada pertubuhan i-Medik cawangan Negeri Sembilan yang telah menghantar seramai 8 orang doktor perubatan bagi melakukan pemeriksaan kesihatan dari rumah ke rumah dalam usaha memberikan kemudahan rawatan perubatan dan nasihat kesihatan percuma kepada penduduk kampung.
(Pemeriksaan kesihatan dari rumah ke rumah oleh i-Medik)
Seorang peserta yang ditemuramah menyatakan bahawa program Kem Bakti ini telah mencabar kemampuan diri dari sudut menyampaikan risalah dan kefahaman Islam di kalangan orang asli.
Beliau juga meluahkan rasa syukur dan gembira kerana diberi ruang dan peluang untuk bersama di dalam program kemasyarakatan sebegini yang banyak memberi pengajaran dan erti kehidupan sebenar kepada diri mereka dalam merasai sendiri kehidupan sebagai masyarakat luar bandar yang tinggal berjauhan daripada segala kemudahan yang ada di bandar.
Sumbangan barangan keperluan asasi berjumlah dua ribu ringgit Malaysia juga berjaya dikumpulkan dalam misi kali ini, hasil usahasama masyarakat awam yang turut tidak ketinggalan menghulurkan sumbangan melalui pihak Yayasan Ikhlas dan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Seremban.
Majlis perasmian penutup Kem Bakti 2016 ini telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato’ Jalaluddin B Hj Alias selaku Exco dan ADUN Pertang yang dalam ucapannya juga telah meluluskan peruntukan sebanyak 40 ribu ringgit Malaysia bagi menaiktaraf kawasan surau dan kawasan dataran yang berturap bagi kemudahan aktiviti masyarakat Orang Asli di Kampung Putra.
Oleh: Muhammad Fais Bin Mohamad Nor Lok
Media ISMA Cawanga Seremban
Ulasan
Catat Ulasan