Kemasukan pelarian Iraq, Syria ancaman utama negara: Hishammuddin
BANGI, 8 Safar 1438H, Selasa – Kementerian Pertahanan meluahkan kebimbangan terhadap kemasukan pelarian Iraq dan Syria ke Malaysia ekoran ancaman pengaruh kumpulan militan IS di Mosul dan Raqqa.
Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, isu itu menjadi kebimbangan utama kerana perairan Sulu dilihat sebagai kawasan berpotensi untuk pelarian Iraq dan Syria membentuk zon militan IS.
“Berkemungkinan sebahagian daripada mereka sama ada mahu pulang atau mewujudkan kawasan baru (zon militan IS) di rantau ini,” katanya.
Hishammuddin berkata, isu berkenaan akan dibincangkan secara lanjut dalam pertemuannya bersama pemimpin lain di rantau ini.
“Saya akan bertemu dengan Setiausaha Pertahanan Filipina, Delfin Lorenzana dan Menteri Pertahanan Thailand, Prawit Wongsuwan pada mesyuarat bersama jawatankuasa sempadan,” katanya.
Katanya, beliau akan bertemu dengan kepimpinan Perintah Pasifik Amerika Syarikat (USPACOM) hari ini untuk mendapatkan laporan terkini mengenai keadaan di Iraq dan Syria.
The post Kemasukan pelarian Iraq, Syria ancaman utama negara: Hishammuddin appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan