Kementerian Pengangkutan laksanakan AWAS
KUALA LUMPUR, 16 Safar 1438H, Rabu – Kementerian Pengangkutan akan melaksanakan Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS), gabungan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dan Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (KEJARA) pada awal tahun hadapan.
Timbalan Menterinya, Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata, sistem itu kini sudah bersedia untuk dilaksanakan dan beroperasi sepenuhnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pemasangan kamera turut dilaksanakan di kawasan yang sering berlaku kemalangan.
“Ya memang benar lebih banyak kamera akan dipasang di kawasan yang sering berlaku kemalangan bagi mengurangkan jumlah kemalangan di jalan raya,” katanya ketika ditemui di bangunan Parlimen di sini, sebentar tadi.
Terdahulu dilaporkan, Sistem AWAS akan dilaksanakan bermula bulan Mei lalu sebelum ditangguhkan pelaksanaannya kerana masih menunggu kelulusan daripada Kabinet.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai semalam di Parlimen berkata, fasiliti sistem AWAS sudah bersedia untuk digunakan namun tidak menyatakan bila ia akan mula dilaksanakan.
Menerusi sistem itu, ia akan mempunyai 60 mata demerit terbahagi kepada tiga, iaitu 20 mata pertama diberi amaran, 20 mata kedua digantung lesen, tetapi jika pemandu menyertai program pemulihan, tempohnya (penggantungan) dikurangkan separuh, manakala jumlah keseluruhan 60 mata dibatalkan lesen.
The post Kementerian Pengangkutan laksanakan AWAS appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan