Kempen tolak Ahli Parlimen di kawasannya jika tak sokong usul RUU 355: Sekretariat Ummat
Oleh Siti Fatimah Ishak
KUALA LUMPUR, 24 Safar 1438H, Khamis – ‘Mana-mana Ahli Parlimen yang menolak RUU 355, kami akan turun di kawasannya untuk memberitahu masyarakat agar tidak lagi mengundi mereka dalam Pilihan Raya Ke 14 akan datang’.
Itu antara tindakan Sekretariat Ummat Menyokong Memperkasakan Akta 355 (Ummat) selepas ini sekiranya terdapat Ahli Parlimen Islam yang menolak usul berkenaan.
Bercakap perkara itu, Pengerusinya, Haji Aminuddin Yahaya berkata, kita akan senaraikan nama mereka dan turun ke kawasan masing-masing pada pilihan raya umum akan datang.
“Kami akan menjelaskan kepada pengundi, inilah pemimpin yang selama ini menentang pemerkasaan undang-undang Islam.
“Apa tujuan mereka berada dalam Parlimen? Kenapa pilih mereka?
“Ini adalah kata dua daripada kami terhadap mereka. Mereka tidak mempunyai sebab menghentikan usul itu daripada dibentangkan di Dewan Rakyat.,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam himpunan aman menggesa Ahli Parlimen menyokong RUU 355 di luar Parlimen hari ini.
Mengulas lanjut Aminuddin berkata, Sekretariat Ummat gigih berusaha mewakili 500 NGO Islam untuk menyatakan sokongan terhadap usul ahli Parlimen Marang.
“Kami mengadakan jelajah seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak sejak Mei tahun ini, untuk menerangkan cadangan pindaan kepada orang ramai. . Dan hampir keseluruhannya memberi sokongan ke atas perkara ini.
“Kita juga berterima kasih atas kenyataan Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri, semalam, yang menegaskan bahawa isu ini hanya isu yang menyentuh umat Islam sahaja dan tidak melibatkan orang bukan Islam.
“Jadi orang Islam tidak perlu bimbang ataupun mewar-warkan bahawa isu ini sebahagian daripada hudud atau sebagainya,” katanya.
The post Kempen tolak Ahli Parlimen di kawasannya jika tak sokong usul RUU 355: Sekretariat Ummat appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan