Kerajaan tolak cadangan daftar nama IC dalam tulisan jawi, kata menteri
KUALA LUMPUR, 24 Safar 1438H, Khamis – Kerajaan tidak bercadang untuk menukar tulisan pendaftaran nama rakyat Malaysia di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dengan tulisan mengikut kaum seperti pinyin (karakter bahasa Cina) bagi kaum Cina dan jawi bagi kaum Melayu.
Memaklumkan perkara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, hal ini kerana kerajaan mahu data rakyat disimpan dalam tulisan rumi yang lebih seragam dan bersifat global.
“Semua rekod yang dikeluarkan oleh JPN, imigresen memang tulisan dirumikan, dalam kad pengenalan pun dirumikan, negara lain seperti Thailand dan China, nama mereka pun dirumikan.
“Bagi saya ia akan menjadi masalah kalau tulisan nama ini didaftarkan kelahiran dalam tulisan Cina, dan jawi atau buka kepada kepada semua bahasa kerana akan rumitkan pentadbiran di JPN, agensi luar negara dan agensi dalam negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung Rang Undang-Undang Pendaftaran Kelahiran dan Kematian (Pindaan) 2016 di Dewan Rakyat.
Dalam perkembangan berkaitan, sebelum ini Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri ada mencadangkan agar JPN menyediakan ruang khas tulisan Jawi, dalam borang pendaftaran kelahiran untuk mengeja nama kanak-kanak Islam, bagi mengelak pencanggahan maksud.
Beliau juga menyarankan JPN menempatkan asatizah atau individu yang berkelayakan dalam agama, seperti kader Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), bagi menentukan kesahihan nama sebutan, pensabitan nasab juga menjadi penasihat kepada ibu bapa yang datang untuk penamaan anak.
The post Kerajaan tolak cadangan daftar nama IC dalam tulisan jawi, kata menteri appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan