Ketua Pemuda PAS kata Malaysia negara bersifat fasik
Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
BANGI, 21 Safar 1438H, Isnin – Ketua Dewan Pemuda PAS, Nik Abduh Nik Aziz berkata, Malaysia adalah sebuah negara fasik kerana bercampur-baur antara baik dan buruk.
“Negara kita adalah sebuah negara umat Islam yang bercampur baur di antara kesolehan dan kefasikan yang dibenarkan oleh undang-undang. Negara yang soleh sudah pasti akan berusaha merancakkan usaha kebaikan (makruf) dan mencegah sebarang kejahatan (munkar).
“Maka konsep taghyir (perubahan), tajdid (pembaharuan) dan islah (pembaikan) hendak menjadi tunggak dalam hikmah dakwah yang bertujuan mengukuhkan kesolehan dan mengurangkan kerosakan dan kejahatan di dalam negara,” katanya menulis dalam Harakah, semalam.
Dalam Kamus Pelajar Dewan Bahasa dan Pustaka, fasik bermaksud tidak mempedulikan perintah Allah.
Membincangkan usaha PAS mengusulkan pindaan Akta 355 bertujuan memperkasakan Mahkamah Syariah dalam sistem perundangan negara, beliau berkata, oleh kerana kebaikan dan kerosakan berlaku dalam semua sektor, maka gerakan islah dan pembaharuan mestilah bersifat menyeluruh dan saling membantu.
“Gerakan menyebarkan ilmu dan mengukuhkan akidah mestilah digerakkan tanpa mengabaikan, bahkan mestilah bersekali dengan gerakan islah dan tajdid di dalam sektor-sektor lain seperti politik, sosial, kebajikan, kesihatan, undang-undang dan sebagainya.
“Sudah pasti, di dalam sebuah negara yang fasik sifatnya (bercampur-baur antara baik dan buruk), hasil usaha dakwah adalah berbeza-beza.
“Justeru di ruang mana perlaksanaan Islam dibuka dan dibenarkan, maka ia hendaklah diisi, dikembangkan dan dijadikan pemangkin kepada pembukaan Islam di dalam semua sektor kehidupan yang lain,” katanya.
Nik Abduh yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, perlaksanaan fiqh awlawiyat dan maqasid syariat perlu dibuat dalam kerangka besar perlaksanaan Islam yang menyeluruh, tetapi menjadi sukar untuk dipadankan perlaksanaannya jika pemerintah bermazhab sekular dan terumbang-ambing dalam memahami tuntutan ugama.
Justeru, katanya, adalah penting di dalam negara kita misalnya untuk melihat kepada hikmat dakwah yang lebih luas agar perlaksanaan syariah Islam adalah usaha yang selari di antara mengikat umat dengan ugama dan mendorong pemerintah agar melihat ugama sebagai penyelesaian yang terbaik untuk negara.
The post Ketua Pemuda PAS kata Malaysia negara bersifat fasik appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan