Khutbah Jakim: Campur tangan kuasa asing boleh cetuskan huru-hara
Gambar hiasan.
Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar (Wartawan Pelatih Ismaweb)
BANGI, 18 Safar 1438H, Jumaat – Campur tangan kuasa asing dalam pentadbiran serta perundangan negara boleh mencetuskan huru-hara.
Khutbah Jumaat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini menyatakan bahawa campur tangan ini mampu mewujudkan pelbagai isu dan spekulasi yang boleh memburukkan imej negara di mata masyarakat dunia.
“Kaedah ini sama sekali tidak boleh diubah dengan cara yang menyalahi syarak sebagaimana cara demonstrasi, perarakan, tunjuk perasaan, rapat umum dan menyatakan bantahan beramai-ramai terhadap pemerintah secara terang-terangan dalam perhimpunan umum.
“Jika dilakukan juga, maka ini menyingkap kelemahan mereka kerana tidak mampu menasihati pemerintah dengan cara yang betul,” kata Jakim tanpa merujuk secara tepat kepada pihak Bersih yang telah menerima dana asing.
Sehubungan itu, Islam telah menunjukkan suatu kaedah yang sesuai untuk mengubah kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh pemerintah iaitu dengan cara nasihat, berdoa, dan membantu pemerintah dalam hal-hal kebaikan.
“Islam sebagai agama yang positif, tidak membawa gambaran keganasan, radikal atau ekstremis yang boleh merosakkan kehidupan manusia.
“Malah Islam menggesa umatnya untuk bermasyarakat selaras dengan tamadun dan kemajuan.
“Ketahuilah, Islam tidak pernah menyekat kebebasan dan melucutkan kehendak umatnya, apatah lagi memaksa sesuatu yang memudaratkan ke atas mereka, sebaliknya diberikan kebebasan dalam batas-batas yang ditentukan oleh Allah SWT,” katanya.
Kata Jakim lagi, Islam juga menggalakkan umatnya agar memperbanyakkan amalan kebajikan yang membawa pelbagai kebaikan.
Susulan itu, khutbah menyeru seluruh rakyat Malaysia menyuburkan amalan kebaikan dan kebajikan dalam diri dengan mengambil tanggungjawab untuk melakukan amal kebajikan sepanjang masa.
The post Khutbah Jakim: Campur tangan kuasa asing boleh cetuskan huru-hara appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan