Khutbah: Protes jalanan cerminan demokrasi liberal
Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI, 11 Safar 1438H, Jumaat – Tindakan mengadakan protes jalanan ekoran dorongan ketidakpuasan hati dan persepsi negatif adalah bertentangan dengan kehendak agama Islam.
Menerusi khutbah Jumaat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini, Islam sendiri menganjurkan ibadat secara jemaah (berhimpun) sebagai tanda kekuatan dan protes kepada kekufuran, namun ia mesti dilaksanakan secara beradab.
Ia berikutan kebelakangan ini, segelintir masyarakat Islam di Malaysia bertindak melakukan protes terhadap kerajaan menerusi siri perhimpunan di jalanan akibat persepsi negatif yang ditimbulkan oleh pihak tertentu.
Malah, kenyataan media sosial yang tidak disaring juga mendorong kumpulan itu bertindak di luar batasan moral dan etika mereka.
“Persoalannya, apakah sebenarnya yang tersirat disebalik tindakan sebegitu? Ya, disedari atau tidak, di situ tersembunyinya sebuah idea fahaman demokrasi liberal yang berselindung di sebalik perjuangan demokrasi dan hak asasi.
“Hakikatnya, mereka berhasrat untuk menobatkan sesetengah individu tertentu yang sedia mengikut telunjuknya dan mengembangkan lagi fahaman ini untuk menjadikan masyarakat ini masyarakat yang lebih terbuka serta menerima nilai liberalisme,” kata Jakim.
Menyingkap sejarah politik Islam, al Ghazali sebagai contoh, tidak pernah mengatakan bahawa melakukan rusuhan di jalanan adalah bentuk yang selaras dengan Islam.
“Ketika wazir Sultan Saljuk terbunuh oleh kelompok yang berpegang kepada falsafah radikal yang berusaha menjatuhkan Nizam Syah, al Ghazali mengambil sikap menggunakan kecerdikkan akal memberikan nasihat kepada kerajaan dan bukannya membela kematian itu menerusi demonstrasi.
“Justeru, sikap menggalakkan masyarakat menjadi pelampau merupakan satu sikap yang bertentangan dengan kehendak Islam, kerana Islam meletakkan kesejahteraan dan keamanan sebagai suatu kewajiban yang besar,” kata Jakim.
Dalam masa sama, khutbah turut mengingatkan setiap umat Islam supaya mempertahankan kedaulatan negara daripada campur tangan asing ekoran konflik yang yang dicetuskan sesama masyarakat.
“Mimbar ingin mengingatkan bahawa teraturnya urusan agama dan dunia tidak akan berlaku tanpa kewujudan pemerintah dan kesetiaan rakyat, malah keadaan masyarakat akan menjadi kacau bilau dan saling berbalahan antara satu sama lain.
“Justeru mimbar menyeru dan mengajak sidang Jumaat sekelian, marilah kita sama-sama bersatu-padu memelihara kedaulatan negara ini daripada sebarang bentuk ancaman yang boleh menggugat kesejahteraannya,” katanya.
The post Khutbah: Protes jalanan cerminan demokrasi liberal appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan