Kursus Murabbi Ummah lahirkan tokoh rujukan masyarakat
PORT DICKSON, 29 Safar 1438H, Selasa – Kursus Murabbi Ummah (MU) berjaya dianjurkan oleh Biro Dakwah Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) dan Wanita Isma buat julung kalinya pada 25 hingga 27 November lalu.
Bertemakan ‘Pewaris Risalah Pemangkin Ummah’, kursus ini bertujuan melahirkan para Murabbi Ummah (MU) yang mampu menjadi tokoh rujukan dalam membimbing masyarakat.
Pengerusi Biro Dakwah Isma, Ustaz Haji Omar Kassim mengingatkan para Murabbi Ummah agar sentiasa mempertingkatkan kemahiran diri dengan disiplin Islam yang betul.
“Para Murabbi Ummah mesti berusaha membangun potensi diri dan meningkatkan mutu penyampaian agar lebih menarik, berilmiah dan mampu mengesani jiwa para pendengar tanpa meninggalkan disiplin ilmu Islam yang sepatutnya”, katanya.
Sementara itu, Ketua Wanita Isma, Dr. Norsaleha Mohd Salleh berkata, para Murabbi Ummah terkehadapan bukan sahaja dari sudut penampilan dan persembahan tetapi yang lebih penting pada isi dan mesej yang ingin disampaikan.
“Kita mahu para Murabbi Ummah menggarap isi penyampaian dengan baik agar mesej kita jelas sampai kepada masyarakat”, katanya.
Kursus yang dijalankan di Corus Paradise Resort, Port Dickson itu disertai oleh 38 orang Murabbi Ummah dengan bimbingan lapan orang mentor berpengalaman diketuai oleh Timbalan Mufti Perak, Ustaz Haji Zamri Hashim.
The post Kursus Murabbi Ummah lahirkan tokoh rujukan masyarakat appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan