Lebih baik Najib tumpu masalah ekonomi dari kutuk parti lawan, kata Tuan Ibrahim
Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI 14 Safar 1438H, Isnin – Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengingatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya memberi tumpuan kepada masalah ekonomi negara berbanding membuang masa mengutuk lawan politiknya.
Beliau berkata, apa yang diharapkan rakyat ketika ini adalah pembentangan pelan daripada Najib bagi menghadapi kejatuhan teruk nilai ringgit ekoran impak kemenangan parti Republikan, Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat.
“Rakyat perlu mengetahui apakah langkah-langkah kerajaan untuk mengawal kenaikan inflasi dan kos sara hidup sekiranya nilai Ringgit jatuh ke paras RM5 ke USD1?
“Rizab Bank Negara berada pada paras RM405.5 bilion (bersamaan AS$97.8 bilion) setakat 31 Oktober 2016.
“Berapakah rizab Bank Negara yang telah digunakan Jumaat lalu ketika nilai Ringgit menjunam ke tahap RM4.72 ke USD1 sebelum pulih ke paras RM4.4 ke USD1?,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Najib kebelakangan ini lantang membidas parti lawannya terutama bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan pimpinan tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Ia berikutan kerjasama yang dijalinkan oleh Dr Mahathir dan Bersatu dengan pakatan harapan, iaitu blok gabungan di antara PKR, parti rasis dan cauvinis, DAP serta parti serpihan PAS, Parti Amanah Negara (PAN).
Semalam Najib turut mendakwa kerjasama di antara Bersatu dan DAP sebagai hipokrasi dan tiada arah tuju, berikutan perseteruan lampau Dr Mahathir dengan Lim Kit Siang mengikut sejarah lampau.
Dalam masa sama, Tuan Ibrahim turut mempersoalkan tindakan kerajaan yang menolak pelawaan Switzerland bagi mendapatkan bantuan undang-undang menyiasat dakwaan rasuah berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Bukankah kerjasama ini akan dapat membantu sedikit sebanyak memulihkan persepsi antarabangsa terhadap negara?
“Apa pula reaksi kerajaan terhadap kenyataan Unit jenayah kolar putih Singapura yang mengenal pasti ahli perniagaan Malaysia, Low Taek Jho sebagai orang penting dalam siasatan pengubahan wang haram yang melibatkan 1MDB?
“Apakah kerajaan tidak mahu mengetahui lebih lanjut siapa di belakang Jho Low, dan bagaimana wang 1MDB telah dicuri?,” katanya.
The post Lebih baik Najib tumpu masalah ekonomi dari kutuk parti lawan, kata Tuan Ibrahim appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan