Malaysia bukan negara demokrasi, pelaksanaan Islam masih kurang: Iksim

drfauzi

Oleh Athirah Huda Zalhe

PUTRAJAYA, 12 Safar 1438H, Sabtu – Pengurus Besar Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (Iksim), Dr Mohd Fauzi Shaffie, menyangkal pendirian banyak pihak yang menganggap Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi.

Sebaliknya beliau berkata, Malaysia hanyalah negara yang mengamalkan sistem demokrasi, dan ia juga tidak tertakluk di dalam Perlembagaan.

“Dari sudut teori mengatakan Malaysia negara demokrasi itu tidak wujud, kerana Malaysia hanya mengamalkan proses demokrasi, dan ia jelas ditulis dalam Perlembagaan.

“Juri demokrasi yang menjadi majoriti itu yang akan memutuskan segalanya, tetapi kita ada demokrasi terpimpin kerana adanya Yang di-Pertuan Agong untuk memutuskan sesuatu.

“Dan jika mengikut teori asasnya demokrasi itu tidak selari dengan Islam,” katanya pada sesi pembentangan kertas kerja Muzakarah Ulama MUIS: Aplikasi Maqasid Syar’iyyah dalam Konteks Malaysia Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Dr Fauzi berkata, beliau sedar bahawa terdapat segelintir pihak yang berjuang mengatakan Malaysia menjadi sebuah negara sekular, meskipun perkataan itu tidak pernah disebut dalam Perlembagaan.

“Ada yang berjuang mahu mengembalikan Malaysia sebagai sekular, dan pernah dicadangkan sebelum ini supaya perkataan sekular itu dimasukkan dalam Perlembagaan, namun ia ditolak.

“Sekular dan Islam umpama minyak dan air, tidak boleh bercampur langsung. Jika wujudnya sekular, maka Islam tidak lagi boleh menjadi agama Persekutuan,” katanya.

Katanya, meskipun Malaysia diiktiraf sebagai sebuah negara Islam, namun beliau akui ia masih banyak kekurangan dari sudut pelaksanaan.

“Sebagai contoh, ramai yang faham mengenai solat, namun solatnya tidak sempurna, malah langsung tidak solat meskipun tahu ia adalah wajib.

“Begitu juga dengan negara ini. Kita kata negara kita adalah negara Islam, tetapi pelaksanaannya tidak dapat dilaksanakan dengan baik dan sempurna kerana ada masalah-masalah dari segi pemimpinnya dan penyokong yang bertanggungjawab meletakkan pemimpin sedemikian,” katanya.

The post Malaysia bukan negara demokrasi, pelaksanaan Islam masih kurang: Iksim appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?