Melakar Peta Politik

abdullah zaik

1) Kesedaran Politik Yang Benar (Wa’yu Siasi)

Kesedaran politik bukanlah bermaksud kepandaian menggunakan taktik atau muslihat untuk menjatuhkan kumpulan lawan. Ia juga bukan kemahiran dalam merangka strategi untuk merebut peluang mendapat kuasa. Permainan kotor mengejar janji demokrasi, kuasa dan perubahan. Walhal ia hanyalah satu tipu daya dan kepalsuan.

Kesedaran politik yang sebenarnya ialah kepekaan seseorang terhadap permasalahan yang dihadapi oleh umat. Kepekaan terhadap cabaran survival dan ancaman masa depan. Kepekaan yang melahirkan rasa tanggungjawab untuk melakukan usaha penyelamat. Saya telah sebutkan dalam perenggan-perenggan permasalahan umat dalam konteks global dan juga lokal.

Kesedaran ini yang diperlukan dalam konteks melakar semula peta siasi. Oleh itu kerja kita yang utama ialah mendidik masyarakat dengan kesedaran politik yang sebenarnya. Kita harus memahamkan mereka dengan kewajiban membina semula syaukah yang dapat mempertahankan hauzah al-muslimin. Melakukan segala sebab yang boleh mengembalikan kegemilangan yang telah hilang itu.

Seorang yang mempunyai kesedaran siasi yang benar akan memiliki:

  1. Kejelasan visi dan misi dalam usaha pembangunan umat.
  2. Beriman dengan kerja bermarhalah dan mengikut tertib amal yang jelas.
  3. Beriman dengan kelebihan kerja-kerja untuk manfaat umum.

2) Keutamaan Dalam Amal (Amal Qawi)

Banyak kerja yang perlu kita lakukan. Dorongan-dorongan harian sering menguasai tumpuan amal seseorang. Kadang kala kita dihambat dengan permintaan ceramah yang banyak, maka hari-hari kita disibukkan dengan menyusun jadual ceramah. Kadang-kadang kita terpanggil dengan tanggungjawab sosial, khidmat masyarakat, ada orang sakit, ada orang perlukan bantuan, kadang-kadang terdesak dengan keperluan rumah, maka kita sibuk dengan kerja-kerja rumah dan sebagainya lagi, semuanya itu adalah amal soleh dan baik tetapi sejauh mana amal-amal itu membawa kepada mencapai matlamat iqamatuddin?

Oleh itu, amat penting sekali setiap kita memahami konsep amal qawi dan amal dho’if ini supaya tumpuan kita tidak berpecah mengikut minat peribadi, pandangan tersendiri, rentak siasi atau dorongan keperluan harian. Amal qawi ialah kerja yang kita perlu berikan tumpuan penuh kerana ia merupakan tulang belakang kepada kejayaan perancangan kita. Amal yang menjadi prioriti dan menjadi asas tarjih antara amal-amal yang banyak. Jadi amal yang nisbah membawa kejayaan perancangan yang lebih tinggi dan lebih langsung kita namakan amal qawi.

a. Mentarbiah Umat

Setelah memahami kepincangan menyeluruh yang dihadapi oleh umat Islam dan besarnya cabaran yang dihadapi dari luar dan dalam negara maka jelas kepada kita bahawa mengharapkan projek perubahan Islam untuk dipikul dan dijayakan oleh masyarakat kebanyakan adalah anggapan yang salah.

Projek Islam perlukan manusia yang memiliki ciri tertentu sahaja yang boleh diharap. Oleh itu perancangan Islam hendaklah menjurus kepada usaha mentarbiah masyarakat dan memilih daripada kalangan mereka individu-individu yang memiliki kehendak yang tinggi, cintakan Islam, kesetiaan yang tidak berbelah bagi dan bersedia berkorban untuk kepentingan umum, sebagai kerja utama untuk satu tempoh tertentu. Itu kerja utama dan amal qawi yang kita maksudkan. Ia harus menjadi tumpuan yang tidak boleh dilalaikan dengan kerja lain, walaupun mungkin akan memakan masa yang agak lama.

Sebelum wujud generasi yang dimaksudkan tadi khuttah Islamiyyah pasti akan menemui kegagalan, kerana ia dengan itu tidak memiliki asas berpijak yang kuat. Bagaimana kita boleh harapkan kejayaan jika ianya disandarkan kepada orang-orang yang lemah, tidak setia, tidak bersedia berkorban dan sanggup menjual prinsip. Inilah faktor sebenar kepada kegagalan yang dihadapi oleh apa-apa perancangan pengislahan, seperti wujudnya ketirisan dan meng‘ali- baba’kan projek dan sebagainya.

b. Tsaqafah al-Muqawamah (Penentangan)

Kerja-kerja mentarbiah umat yang telah melalui fasa-fasa penjinakan yang panjang dan selesa dengan budaya menyerah, tidak mahu berfikir susah-susah, buat mudah-mudah, asalkan bahagia dan sebagainya tidak mungkin akan bangkit menyokong atau menjadi benteng kepada perancangan Islam jika mereka terus dengan gaya hidup yang sedia ada.

Oleh itu perancangan mentarbiah dan membentuk umat yang kuat dan berwawasan, setia dan sanggup berkorban perlu disokong oleh satu gagasan membentuk public opinion yang dimuatkan dengan tsaqafah al-muqawamah atau budaya menentang dan daya fikir kritis yang akan memberi kekuatan kepada mereka untuk menolak sebarang bentuk penjajahan, penghinaan dan perancangan penjinakan. Tsaqafah al-muqawamah ini juga akan menjadi antibodi yang akan melawan propaganda media Barat yang cuba mencabut ghirah dari jiwa muslim terhadap maharim Allah dan menanam jiwa hina dalam diri muslim.

Manusia yang jinak dengan budaya ikut-ikut juga tidak mungkin akan menyahut seruan berfikir di luar kotak dan tidak akan bersedia untuk mengikut langkah dan memikul beban tanggungjawab “melakar semula peta siasi”.

3) Penyertaan Yang Positif

Pegangan kita terhadap konsep amal qawi dan kesibukan kita dengan kerja-kerja menyiapkan fasa persediaan menampak ISMA seolah-olah tidak prihatin terhadap isu-isu semasa. Ini menyebabkan masyarakat dan juga sesetengah ahli bertanya kenapa ISMA kelihatan terperuk? Sebenarnya tidak, ISMA sangat prihatin dengan isu semasa dan terlibat dalam sesetengah isu, cuma mungkin kita tidak begitu ke depan berbanding badan lain kerana saiz kita yang masih kecil.

Itu yang pertama, kedua; akhir-akhir ini kelihatan bibit-bibit usaha ke arah mencari titik kesatuan umat. Ini sangat relevan dengan pandangan kita tentang konsep melakar semula peta siasi. ISMA menyokong penuh usaha-usaha tersebut tidak kira dari pihak mana datangnya. Insya Allah jika diizinkan Tuhan pada tahun ini kita akan dapat melihat penglibatan yang lebih baik dari pihak ISMA. Pendirian kita ialah memupuk segala usaha yang dilakukan untuk kepentingan umat Islam dan mendorong kerjasama dalam perkara-perkara yang boleh dilakukan bersama.

Ahli tidak perlu bimbang kita kehilangan fokus kerana saranan ini dibuat setelah mengkaji kemampuan dan membuat persiapan yang sewajarnya, Alhamdulillah.

Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman
Presiden Isma

Teks di atas merupakan petikan daripada ucapan dasar Presiden yang disampaikan semasa Mesyuarat Agung Tahunan Isma ke-10 pada tahun 2007.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?