Melayu jangan takut ceburi perniagaan walaupun jual nasi lemak

ali

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

KUALA LUMPUR, 12 Safar 1438H, Sabtu – Ekonomi orang Melayu tidak akan ada peningkatan selagi masih takut untuk menceburi bidang perniagaan, kata Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia, Tan Sri Muhammad Ali Hashim.

Beliau berkata, kebanyakan orang Melayu segan untuk menjadi kaya, malah membiarkan pula bangsa lain menguasai ekonomi negara.

“Sampai bila kita nak makan gaji sahaja. Tak salah nak makan gaji, tapi jika tak berniaga, payah umat Islam nak bangkit semula menjadi khalifah di muka bumi ini.

“Sebab kalau makan gaji ni, kerja kita dari pukul 8 sampai 5 sahajalah kita anggap. Selepas daripada pukul 5, bukan kerja kita dah. Tapi, orang berniaga ni, dia nak masa dia tidur pun dia dapat buat duit,” katanya berucap di Forum Pengguna VI 2016 yang diadakan di Menara Felda, Platinum Park, Persiaran KLCC, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Ali berkata, Melayu tidak perlu takut untuk memulakan perniagaan secara kecil-kecilan, hatta menjadi penjual nasi lemak atau penggunting rambut sekalipun.

“Berniaga atau bisnes ni, bukan sahaja untuk jadi kaya. Tapi kita nak himpun kekayaan ini untuk sempurnakan ibadah. Paling kurang berzakat, seterusnya bersedekah dan berwakaf, kalau kita sesama kita tak nak bantu, siapa nak bantu,” katanya.

Bimbang dengan situasi ekonomi yang tenat ini, Muhammad Ali berkata, sekiranya orang Melayu tidak giat memasuki bidang perniagaan, masyarakat akan terus ketinggalan dan dijajah.

“Bangsa lain dah lama 9/10 rezeki dalam tangan mereka kerana berniaga. Kita, masih 1/10. Nabi dah lama galakkan. Siapa yang ikut sunnah nabi sekarang ini.

“Pada tahun 1957, Korea Selatan lebih mundur dari kita. Bola pun dia kalah. Kita pada masa tu hebat, semua kenal Mokhtar Dahari. Kita dipandang tinggi.

“Tetapi sekarang? Korea Selatan dah sampai ke peringkat dunia. Kita pula yang ikut Gangnam Style-nya, guna pun barang Samsung. Kenapa berlaku begini,” soalnya.

Justeru, katanya, bangsa Melayu kena bangkit dan jangan mengalah.

“Kita kena bela nasib agama dan bangsa supaya tidak ditindas dalam negara sendiri. Bilangan Melayu 60 peratus dalam Malaysia. Dulu kita hanya letak 30 peratus sasaran orang Melayu pegang ekonomi. Sekarang kita nak sasarkan 60 peratus juga yang mendapatkan kuasa ekonomi itu,” katanya.

The post Melayu jangan takut ceburi perniagaan walaupun jual nasi lemak appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?