Mufti Kelantan minta Jakim kaji semula modul kursus kahwin
KUALA LUMPUR, 15 Safar 1438H, Selasa – Mufti Kelantan meminta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengkaji semula serta membuat penambahbaikan dalam modul kursus perkahwinan berikutan peningkatan kes penceraian dalam kalangan pasangan Islam di negara ini.
Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, modul kursus perkahwinan yang digunakan pada ketika ini perlu dipertingkatkan segera selari dengan perkembangan semasa yang dipengaruhi kehidupan moden.
“Kursus berkenaan yang wajib dihadiri oleh pasangan yang bertujuan memberi kefahaman dan bimbingan terhadap hak serta tanggungjawab itu perlu diteliti bagi memastikan ilmu diterapkan kepada bakal pengantin masih dalam keadaan relevan.
“Statistik kes penceraian yang dilaporkan iaitu kira-kira 48,077 pasangan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini memberi petanda kepada pihak bertanggungjawab untuk menilai semula modul kursus perkahwinan ke arah yang lebih mantap,” katanya.
Mengulas mengenai penyebab penceraian, beliau berkata, peribadi kurang bertanggungjawab dan kematangan diri merupakan punca bilangannya semakin meningkat.
“Generasi muda kita hari ini terlalu disemai dengan sikap ‘keakuan’ yang sangat tinggi, sekali gus menyebabkan ramai yang gagal memiliki perasaan sikap simpati dan empati terhadap orang lain serta bertanggungjawab dalam kehidupan.
“Golongan ini lebih suka mementingkan keperluan diri menyebabkan mereka gagal menghargai nilai rumah tangga dan erti cinta dan sayang suami isteri, sebaliknya lebih suka mengambil jalan menyendiri apabila berdepan dengan masalah,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, kursus itu juga perlu diteruskan lagi walaupun selepas berkahwin bagi memastikan ilmu rumahtangga sentiasa ‘diperbaharui’.
The post Mufti Kelantan minta Jakim kaji semula modul kursus kahwin appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan