Mufti syor JPN sedia ruang tulisan Jawi dalam borang pendaftaran kelahiran

mufti-wilayah

Oleh Nur Hazimah Shahrul Hasnni

BANGI, 16 Safar 1438H, Rabu – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) disaran menyediakan ruang khas tulisan Jawi, dalam borang pendaftaran kelahiran untuk mengeja nama kanak-kanak Islam, bagi mengelak pencanggahan maksud.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, nama yang ditulis menggunakan tulisan Jawi akan diambil kira sebagai yang paling muktamad, terutama dalam kalimah atau nama yang wujud dalam bahasa Arab.

Serentak itu, beliau juga menyarankan JPN menempatkan asatizah atau individu yang berkelayakan dalam agama, seperti kader Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), bagi menentukan kesahihan nama sebutan, pensabitan nasab juga menjadi penasihat kepada ibu bapa yang datang untuk penamaan anak.

“Ini kerana kami dapati banyak juga nama apabila ditulis dalam huruf latin atau Rumi boleh memberi maksud yang berbeza atau lebih teruk maksudnya dalam bahasa Arab,” katanya menerusi kenyataan dalam Bayan Linas terbaharu Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, semalam, yang membincangkan isu ‘Polemik Nama Damia: Elok atau Tidak?’.

Katanya, cadangan untuk menulis nama dalam dua tulisan ini bertujuan mengekalkan ketepatan sebutan dan makna sebenar seperti yang dikehendaki ibu bapa.

“Misalnya, perkataan yang mengandungi huruf ‘Ain dan Alif yang biasanya akan ditulis dalam bahasa Melayu dengan huruf A sahaja seperti Abdullah, berkemungkinan berlaku kekeliruan dalam sebutan,” katanya.

Dr Zulkifli berkata, penamaan itu telah dilaksanakan di Singapura untuk umat Islam di sana, dan sudah tiba masanya JPN memutuskan JAKIM bagi menentukan kesahihan nama sebutan serta pensabitan nasab, selain menjadi penasihat kepada ibu bapa yang datang untuk menamakan anak mereka.

Selain itu, ibu bapa turut disarankan memilih dan memberi nama yang baik kepada anak selain merujuk kepada ahli ilmu atau buku, katanya.

“Elakkan daripada memberi nama yang panjang dan tersusun. Biasakan diri memanggil anak dengan nama penuh supaya dapat menghasilkan maknanya yang sebenar,” katanya.

Sebelum ini, Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor mengesahkan telah menerima permohonan pertukaran nama ‘Damia’ yang disifatkan sebagai tidak elok seperti yang viral di laman sosial termasuk Facebook dan juga WhatsApp.

Pihaknya melakukan semakan menerusi kamus bahasa Arab dan mendapati perkataan ‘Damia’ bermaksud tempat keluar darah.

Kenyataan penuh dan rumusan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan mengenai ‘Polemik Nama Damia: Elok atau Tidak?’, boleh dibaca dalam laman web mereka: (klik logo di bawah)

The post Mufti syor JPN sedia ruang tulisan Jawi dalam borang pendaftaran kelahiran appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?