Muslim pertama Amerika selesa dalam kempen ketuai Demokrat
WASHINGTON, 17 Safar 1438H, Khamis – Parti yang kalah pada pemilihan calon Presiden Amerika Syarikat (AS) – Demokrat – perlu menunggu sehingga 30 November ini bagi mengetahui sama ada orang Islam pertama bakal mengetuai parti itu, selepas tarikh pemilihan dalaman ditunda.
Speaker Dewan Perwakilan AS parti Demokrat, Nancy Pelosi, bersetuju tarikh pemilihan diubah selepas parti itu memberitahu bahawa mereka memerlukan lebih masa bagi menilai kekalahan dalam pilihan raya presiden, baru-baru ini.
Pilihan raya Presiden AS minggu lalu menyaksikan Demokrat hilang Rumah Putih dan gagal merampas Dewan Senat daripada Republikan. Donald Trump yang mewakili Republikan mengalahkan Hllary Clinton dari Demokrat untuk kerusi Presiden AS.
Sebelum ini, Anggota Kongres, Keith Ellison yang beragama Islam, mengumumkan untuk bertanding mengetuai Jawatankuasa Nasional Demokrat (DNC) dan dianggap mempunyai peluang cerah memenangi jawatan itu.
“Dalam kitaran pilihan raya ini, kita tidak memberi dorongan kuat kepada orang ramai untuk memberi undi. Kita mesti menjuarai cabaran untuk bekerjasama sebagai satu keluarga dan memberi pengundi sebab mereka perlu hadir pada pilihan raya 2018 dan seterusnya,” kata Ellison dalam satu kenyataan.
DNC adalah badan pentadbiran rasmi parti Demokrat. Jawatankuasa itu mengatur strategi bagi menyokong calon Demokrat di seluruh negara bagi menduduki pentadbiran peringkat tempatan, negeri dan kebangsaan.
Ellison adalah Muslim Amerika pertama bakal dipilih ke Dewan Perwakilan dan pengerusi bersama Jawatankuasa Kaukus Progresif Kongres.
Jawatan tertinggi dalam DNC kosong sejak Debbie Wasserman Schultz meletak jawatan selepas e-mel berhubung satu konspirasinya dalam pemilihan calon Demokrat, bocor. – Agensi
The post Muslim pertama Amerika selesa dalam kempen ketuai Demokrat appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan