Myanmar mahu hapus etnik Islam Rohingya: Khutbah Jakim
Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar (Wartawan Pelatih Ismaweb.net)
BANGI, 25 Safar 1438H, Jumaat – Misi penghapusan etnik Rohingya sedang berlaku berikutan saban hari masyarakat Islam Rohingya di Myanmar diseksa dan dibunuh.
Khutbah Jumaat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini menyatakan, apa yang dilakukan Myanmar adalah suatu bentuk pencabulan hak asasi manusia dan penghinaan terhadap umat Islam minoriti di negara itu.
Bayangkan sehingga kini, mereka masih belum mendapat pembelaan yang sewajarnya.
“Golongan Rohingya ini telah cukup terhina apabila dilabel sebagai golongan pelarian dan tanpa negeri oleh sesetengah pertubuhan antarabangsa dan tempatan.
“Tidak cukup dengan itu, kesengsaraan mereka ditambah pula dengan penafian kerakyatan mereka oleh pihak berkuasanya sendiri.
“Akhirnya, mereka terpaksa bermigrasi dari kawasan tempat tinggal mereka di Arakan menuju ke beberapa negara seperti Bangladesh, Arab, Thailand termasuk Malaysia,” kata Jakim.
Malah, lebih menyedihkan lagi, kerajaan dan masyarakat Myanmar termasuk pemuka agama mereka menyetujui tindakan ini seolah-olah menganggap golongan Rohingya ini memberi banyak masalah serta mengancam kestabilan negara berkenaan.
Dalam pada itu, Jakim berkata, Islam adalah agama yang menyuruh kepada keamanan, mengajak kepada kebaikan, menolak kezaliman dan mencegah kemungkaran.
“Lantaran itu, sejak awal lagi Islam memerangi dan mengutuk keras tindakan kezaliman dan keganasan apatah lagi jika sampai kepada mengorbankan jiwa yang tidak berdosa.
“Susulan itu, dalam soal membantu menyelesaikan isu etnik Rohingya, mimbar menyokong saranan yang dilontarkan oleh pucuk kepimpinan negara bahawa adalah sangat penting negara-negara Asean dan negara ketiga memainkan peranan secara serius di samping menghulurkan bantuan kemanusiaan sebagaimana yang dilakukan oleh Malaysia.
“Dengan semangat Asean bersama, mimbar yakin sinar Rohingya dapat dikembalikan bahkan negara juga dapat mengelak kesan daripada tragedi kemanusiaan tersebut demi kedaulatan negara,” katanya.
The post Myanmar mahu hapus etnik Islam Rohingya: Khutbah Jakim appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan