Najib pemimpin pecah amanah, tak bertanggungjawab, kata Muhyiddin
Perdana Menteri ke China bawa pulang hutang yang banyak, sedikit saja pelaburan
Oleh Razali bin Zakaria
KUALA LUMPUR, 17 Safar 1438H, Khamis – Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Malaysia sekarang dipimpin oleh seorang yang pecah amanah dan tidak bertanggungjawab, menyebabkan negara berdepan keadaan ekonomi yang teruk dan mencemaskan.
Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke China baru-baru ini, pulang dengan membawa hutang yang banyak dan sedikit sahaja pelaburan.
“Orang tak faham… Najib ke sana sedikit bawa pulang pelaburan, tetapi banyak bawa hutang balik ke Malaysia,” katanya pada ceramah di Sentul di sini, malam tadi.
Beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, perkembangan ekonomi yang berlaku dalam negara sekarang ini memerlukan rakyat memahami secara lebih jelas apa yang berlaku.
Katanya, beliau membangkitkan di Dewan Rakyat bagaimana kerajaan hendak membayar hutang yang meningkat sehingga hampir RM700 bilion, termasuk yang dibuat oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB), tetapi Perdana Menteri gagal menjawab.
Kini, katanya, Najib menambahkan lagi beban negara dan rakyat dengan berhutang kepada syarikat China untuk melaksanakan projek Landasan Kereta Api Pantai Timur bernilai RM55 bilion.
“Saya tidak iri hati orang Pantai Timur dapat kereta api.. tapi keadaan dalam negara tidak membolehkan kita belanja wang pada waktu di mana wang sudah tidak ada..
“Jadi Perdana Menteri ke China beritahu ada projek besar landasan kereta api dengan kos RM55 bilion. Najib ke sana bukan dapat pelaburan.. ini ada orang putarbelitkan… MCA putarbelitkan.. ada orang tak faham Najib ke sana sedikit bawa pelaburan, tapi banyak bawa hutang balik ke Malaysia,” katanya.
Mengulas mengenai kerjasama dengan parti dan individu yang pernah menjadi musuh politik ketika beliau berada dalam UMNO dan Barisan Nasonal (BN) sebelum ini, Tan Sri Muhyiddin berkta, beliau pernah berkempen melawan pemimpin pembangkang.
“Tapi sekarang berada sepentas dengan pembangkang… inilah politik.. di mana dalam keadaan, walaupun suatu ketika dahulu kita berseteru ataupun bermusuhan, tetapi pada suatu ketika yang lain kita berada dalam satu barisan yang sama, kerana kita mempunyai matlamat perjuangan yang satu.
“Dalam konteks ini untuk kita sama-sama perjuang bagi meletakkan kembali Malaysia di atas suatu landasan yang betul supaya negara tidak terjerumus di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Razak, Presiden UMNO dan Pengerusi BN,” katanya.
Muhyiddin berkata, keadaan negara hari ini cukup mencemaskan, dan berada di suatu ambang yang boleh membawa kepada kehancuran kerana dipimpin oleh seorang pemimpin yang pecah amanah, tidak bertanggungjawab, mengadaikan maruah bangsa dan merompak khazanah negara sesuka hati.
The post Najib pemimpin pecah amanah, tak bertanggungjawab, kata Muhyiddin appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan