Nasib TPPA dijangka berakhir di bawah pentadbiran Trump
NEW YORK, 15 Safar 1438H, Selasa – Memandangkan retorik sebelum pilihan raya oleh Donald Trump yang membantah keras Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), seorang pakar dasar luar berkata perjanjian ini tidak akan menemui penghujungnya sudah tentu sekali bukan dalam bentuk sekarang.
Bercakap semasa perbincangan panel pada malam Khamis yang bertajuk “President Trump: The Asia Inbox” di Asia Society di New York, Nicholas Burns, bekas Penolong Setiausaha Negara AS bagi Hal Ehwal Politik berkata beliau amat sangsi dengan nasib TPPA di bawah pentadbiran Presiden Trump.
Menjawab soalan daripada responden yang menanyakan sama ada TPPA mempunyai peluang untuk diluluskan di bawah pentadbiran Trump, di tengah-tengah kebimbangan dalam kalangan 11 negara anggota yang lain berhubung nasib perjanjian itu, beliau berkata Trump kelihatan seperti ‘amat serius’ untuk menghentikan perjanjian perdagangan itu.
“Beliau (Trump) nampaknya amat serius dan percaya yang TPPA bertentangan dengan kepentingan nasional Amerika.
“Saya rasa versi TPPA sekarang akan berakhir dan apa yang terbaik kita boleh harapkan adalah beberapa rundingan semula dalam kalangan 12 negara anggota.
“Saya percaya isu ini akan menjadi agenda utama Abe (Perdana Menteri Jepun) apabila beliau datang ke New York minggu depan…usaha (menghentikan TPPA) ini adalah satu kesilapan besar,” kata Burns kepada Bernama.
Beliau berkata Trump, yang akan disokong oleh kongres dikuasai Republikan membantah keras TPPA dan perjanjian perdagangan bebas (FTA) lain dengan menyifatkannya sebagai ‘bencana’ dan ‘pembunuh pekerjaan’.
Burns berkata, sekiranya Amerika Syarikat menarik diri daripada FTA seperti TPPA dan peranannya dalam ‘liberal global order’, negara itu “akan tewas dari segi kelebihan strategik kepada China.” – Bernama
The post Nasib TPPA dijangka berakhir di bawah pentadbiran Trump appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan