PAS sambut baik sokongan Ahli Parlimen bukan Islam SPDP terhadap RUU 355
Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
BANGI, 29 Safar 1438H, Selasa – PAS menyambut baik pendirian Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), Datuk Seri Tiong King Sing apabila menyatakan sokongan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) yang diusulkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Ketua Penerangan Dewan Ulamak parti itu, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri berkata, pendirian yang dinyatakan King Sing untuk tidak campur tangan dilihat rasional dan berfakta tanpa emosi.
“Saya mengalu-alukan pendirian Datuk Seri Tiong King Sing yang juga merupakan Ahli Parlimen Bintulu berhubung RUU 355.
“Ia merupakan pendirian yang sangat rasional dan berfakta tanpa emosi daripada seorang pemimpin politik bukan Islam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, King Sing menjelaskan bahawa Akta 355 bukan undang-undang hudud dan pindaannya hanya membabitkan kepentingan Muslim yakni tidak menyentuh bukan Islam.
“Empat Ahli Parlimen SPDP tidak akan membantah jika pindaan itu dimahukan oleh orang Islam.
“Kenapa kami mahu campur tangan, kami bukannya tahu sangat tentang agama orang Islam,” katanya.
Sehubungan itu, Khairuddin berkata, pihaknya mengharapkan lebih ramai lagi pimpinan politik bukan Islam mengambil sikap yang sama.
“Ia perl rasional tanpa emosi dalam memberikan hak kepada rakyat Muslim dalam mengamalkan hak beragama mereka menurut lunas perlembagaan,” katanya.
The post PAS sambut baik sokongan Ahli Parlimen bukan Islam SPDP terhadap RUU 355 appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan