PAS sedia kerjasama dengan syarat Islam dominan
Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI, 9 Safar 1438H, Rabu – Tawaran kerjasama PAS terbuka untuk mana-mana parti bukan Islam dengan syarat mereka sedia dipimpin oleh Islam, kata Mursyidul Am PAS, Ustaz Hashim Jasin.
Katanya, PAS akui kerjasama politik adalah pendekatan penting dalam menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN), namun perlu berhati-hati supaya sejarah selepas tahun 2008 tidak berulang lagi.
“Pengalaman PAS bertahaluf siyasi semenjak 1986, telah memperlihatkan satu hasil yang tidak menguntungkan Islam, terutama selepas 2008.
“PAS berpandangan bahawa tahaluf siyasi yang hendak dilakukan kali ini mestilah dipimpin oleh Islam,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
PAS sebelum ini pernah bekerjasama dengan PKR dan parti rasis dan cauvinis, DAP dalam pakatan rakyat yang diumumkan pada 1 April 2008.
Bagaimanapun, pada Jun tahun lalu, DAP mengisytiharkan bahawa pakatan rakyat dibubar ekoran atas sebab kerjasama dengan PAS telah diputuskan.
Kini, pakatan rakyat telah menubuhkan blok kerjasama baharu, pakatan harapan yang masih mengekalkan PKR dan DAP, namun tempat PAS telah digantikan dengan parti serpihannya, Parti Amanah Negara (PAN).
Walaupun tidak menyertai pakatan harapan, namun Hashim berkata, PAS telah menyediakan platform kerjasama yang dipimpin oleh Islam melalui blok ketiga iaitu Gagasan Sejahtera disertai oleh Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) dan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa).
“Mana-mana parti politik yang mahu bekerjasama dengan PAS dalam pilihan raya akan datang, pintu kerjasama sentiasa terbuka dengan syarat mereka menerima kerjasama ini dipimpin oleh Islam,” katanya.
The post PAS sedia kerjasama dengan syarat Islam dominan appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan