PAS tak kan kerjasama lagi dengan parti yang khianat, kata Nik Abduh
BANGI, 7 Safar 1438H, Isnin – PAS sedia bekerjasama dengan parti baharu dengan syarat ia mesti mendapat kelulusan mesyuarat Majlis Syura Ulama, kata Ketua Pemudanya, Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz.
Beliau berkata, sebarang jalinan kerjasama politik tidak akan dibuat secara mudah, namun PAS terbuka menerima parti baharu seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad dan Parti Warisan milik Datuk Seri Shafie Apdal.
“Dengan BERSATU, kita ada berbincang bersama mereka, cuma belum dimuktamad kerana Bersatu ada hubung kait dengan DAP.
“Pertemuan bersama BERSATU memang ada, cuma bagaimana hubungan nak diadakan tu kita tengok nanti, belum ada keputusan lagi,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Sebelum ini, Nik Abduh menjelaskan salah faham yang dilaporkan oleh media berhubung kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengenai kesediaan menjalinkan kerjasama dengan blok pakatan harapan.
Kenyataan Hadi dimanipulasikan media yang beranggapan bahawa PAS akan kembali menjalinkan kerjasama dengan parti rasis dan cauvinis, DAP serta parti serpihannya, Parti Amanah Negara (PAN).
Bercakap lanjut, Nik Abduh menyifatkan DAP dan PAN adalah sebagai parti yang khianat kepada PAS.
“Itu kita sebut secara jelas, parti selain daripada itu kita buka,” katanya.
Malah katanya, pintu kerjasama itu juga ditutup kepada Barisan Nasional (BN).
“BN tu tetap musuh kita, PAS akan berlawan dengan BN.
“Hubungan kita dengan BN adalah kerana mereka mentadbir negara (kerajaan) itu sahaja,” katanya.
The post PAS tak kan kerjasama lagi dengan parti yang khianat, kata Nik Abduh appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan