PBB seharusnya isytihar gencatan senjata, gerakkan pasukan pengaman ke Myanmar: Annuar

annuarmusa

KOTA BHARU, 26 Safar 1438H, Sabtu – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) seharusnya campur tangan dengan mengisytiharkan gencatan senjata serta menggerakkan pasukan pengaman ke Myanmar bagi menangani krisis kemanusiaan melibatkan etnik Rohingya di negara itu.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, sudah tiba masanya pertubuhan itu berbuat demikian memandangkan pelbagai kesan negatif yang terpaksa ditanggung etnik tersebut termasuk menjadi pelarian ke negara lain.

“Saya fikir PBB patut mengambil tindakan segera untuk lakukan gencatan senjata serta-merta dan hantar satu pasukan pengaman untuk menghalang malapetaka.

“Penyeksaan itu dibuat dengan sengaja supaya rakyat dan orang Islam di Rakhine lari meninggalkan negara (Myanmar). Ini satu proses menghalau dan menakut-nakutkan (etnik Rohingya) sekali gus mengakibatkan masalah rentas sempadan,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan majlis berkhatan beramai-ramai di Sekolah Kebangsaan (SK) Perol di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Annuar yang juga anggota Parlimen Ketereh turut melahirkan kekesalannya terhadap majoriti masyarakat antarabangsa yang hanya mengambil sikap berdiam diri dengan krisis yang menimpa etnik Rohingya di negara tersebut.

“Kadangkala kita hairan, apabila keganasan berlaku kepada orang bukan Islam, satu dunia meloncat, tapi bila kekejaman berlaku ke atas orang Islam, berlaku depan mata dengan sifat kebinatangan, perkara sebaliknya berlaku.

“Cara penyeksaan yang dilakukan itu bukan sahaja kejam, tidak berperikemanusiaan, malah penuh dengan unsur-unsur kebiadaban,” katanya. – Bernama

The post PBB seharusnya isytihar gencatan senjata, gerakkan pasukan pengaman ke Myanmar: Annuar appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?