PDRM siasat dakwaan dokumentari Malaysia pusat penjualan bayi
KUALA LUMPUR, 27 Safar 1438H, Ahad – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menjalankan siasatan menyeluruh berhubung pendedahan dokumentari ‘Malaysia: Bayi Untuk Dijual’ terbitan stesen televisyen antarabangsa Al Jazeera.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya akan menyiasat paparan video itu bagi membolehkan tindakan susulan diambil.
Katanya, tidak menafikan aktiviti berkenaan wujud, namun tidaklah semudah yang digembar gemburkan dalam video berdurasi lebih seminit itu.
Ini kerana katanya, polis sentiasa memantau aktiviti-aktiviti sedemikian.
“Usaha ini dipergiatkan lagi dengan penubuhan Unit Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (D7C) pada tahun 2008 dan Bahagian Siasatan Seksual Wanita, Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ),” katanya.
Beliau berkata demikian susulan pendedahan Al Jazeera mengenai isu penjualan bayi di Malaysia menerusi sebuah laporan video bertajuk Malaysia: Babies For Sale – 101 East.
Video berdurasi 25 minit yang disiarkan bermula semalam itu, memaparkan bagaimana Malaysia menjadi sebuah hub untuk menjual bayi di mana pembelinya boleh memilih bayi mereka sendiri berdasarkan jantina, bangsa dan warna kulit.
Para penyeludup bayi dikatakan menggunakan kemudahan internet seperti laman sosial Facebook untuk mengiklan dan menjualnya, malah turut menyediakan katalog bayi bagi membolehkan pembeli memilih bayi mengikut citarasa mereka.
The post PDRM siasat dakwaan dokumentari Malaysia pusat penjualan bayi appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan