Pemerdagangan bayi: Polis panggil beberapa individu lagi
KUALA LUMPUR, 30 Safar 1438H, Rabu – Polis akan memanggil beberapa lagi individu yang terbabit dengan penerbitan laporan dokumentari Malaysia: Bayi Untuk Dijual-101 Timur’ yang disiarkan stesen televisyen antarabangsa, Al Jazeera.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, sebelum ini polis telah memanggil seorang wartawan wanita yang juga rakyat tempatan yang terbabit dengan penerbitan laporan itu.
“Sebaik artikel itu keluar (disiarkan), pegawai penyiasat kita menghubungi dia (wartawan) untuk rakam percakapan dan dia beri kerjasama.
“Tindakan berterusan akan diambil bagi mendapatkan maklumat lanjut dan jika perlu akan panggil lagi beberapa individu untuk membantu siasatan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Menambah Anggota Koperasi Polis Diraja Malaysia Berhad, di Bukit Aman, di sini, sebentar tadi.
Sebelum ini, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, polis telah memanggil kru produksi stesen televisyen berkenaan untuk siasatan lanjut berhubung kesahihan dakwaan itu.
Rohani berkata, rundingan bersama Kementerian Luar akan turut dilaksanakan untuk tindakan selanjutnya kerana ia membabitkan agensi media antarabangsa.
The post Pemerdagangan bayi: Polis panggil beberapa individu lagi appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan