Piala AFF Suzuki: Dua gol Amri bantu Malaysia tewaskan Kemboja
YANGON, 21 Safar 1438H, Isnin – Semangat tidak mudah mengalah menjadi tunjang kekuatan pemain skuad Harimau Malaysia yang bangkit menewaskan Kemboja 3-2 pada aksi pembukaan kumpulan B Piala AFF Suzuki di Stadium Thuwunna, petang semalam.
Kapten pasukan skuad kebangsaan, Mohd Amri Yahyah memuji semangat juang yang ditunjukkan rakan sepasukan walaupun ketinggalan dua kali pada perlawanan itu.
“Saya harap kemenangan ini dapat diteruskan pada perlawanan seterusnya. Bagi saya, dua jaringan saya hari ini (semalam) bukan inisiatif saya sendiri, tetapi rakan sepasukan yang banyak membantu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan berkenaan.
Tonggak utama pasukan Johor Darul Ta’zim itu mengakui cuaca panas yang mencecah 33 darjah Celsius pada semalam adalah cabaran terhebat yang perlu dilalui rakan sepasukan dan berharap mereka dapat menyesuaikan diri dengan keadaan itu pada aksi kedua kumpulan menentang Vietnam, Rabu ini.
Berkongsi pandangan sama adalah pemain sayap kiri, Mohd Syazwan Zainon yang menyifatkan bantuan rakan sepasukan banyak membantunya untuk mencipta jaringan pertama untuk skuad kebangsaan pada perlawanan itu.
“Syukur alhamdulillah kerana kami berjaya meraih kemenangan pada hari ini (semalam) walaupun terpaksa beraksi dalam keadaan cuaca panas.
“Saya masih tidak berpuas hati walaupun dapat menjaringkan gol untuk perlawanan hari ini (semalam) dan saya harap kita dapat buat lebih baik pada perlawanan selepas ini,” jelas pemain Kedah itu yang membuat penampilan sulung bersama skuad kebangsaan pada edisi kali ini. – Bernama
The post Piala AFF Suzuki: Dua gol Amri bantu Malaysia tewaskan Kemboja appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan