PKS Malaysia tidak terkesan jika TPPA gagal diteruskan

pks_cropped-transformed

KUALA LUMPUR, 22 Safar 1438H, Selasa – Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia dijangka tidak terkesan sekiranya Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) gagal diteruskan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Khas Untuk Memperkasakan Usahawan India (SEED), Datuk Dr A T Kumararajah.

Beliau berkata, ketika ini Malaysia mempunyai lebih daripada 160 perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan negara lain dan TPPA hanya satu daripadanya.

“Ia tidak akan banyak berubah jika TPPA dibatalkan, dan saya berpendapat banyak PKS Malaysia tidak akan terkesan dalam jangka pendek,” katanya di luar taklimat media mengenai Anugerah Perniagaan PKS dan Keusahawanan 2017 di sini, hari ini.

Sebelum ini dilaporkan, Presiden Amerika Syarikat (AS) yang baharu dipilih, Donald Trump mengumumkan pada Isnin, bahawa AS akan menarik diri daripada TPPA pada hari pertama beliau memulakan tugas.

Sementara itu, Kumararajah menjangkakan pertumbuhan PKS akan mencecah enam peratus tahun ini, dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia diunjur meningkat antara empat dan 4.5 peratus pada 2016.

“Mengikut Pelan Induk PKS 2012-2020, jika anda mahu KDNK negara meningkat sebanyak enam peratus, sektor PKS perlu berkembang pada sekitar 30 hingga 35 peratus lebih tinggi daripada pertumbuhan negara,” katanya.

Melangkah maju, beliau yakin sektor PKS 2017 akan mencapai kadar pertumbuhan enam peratus, pencapaian sama pada 2016, berbanding pertumbuhan tujuh peratus pada 2015.

“Pasaran mata wang mengalami penurunan ketika ini, dan Malaysia tidak terkecuali namun kebanyakan PKS telah melaksanakan lindung nilai,” katanya. – Bernama

The post PKS Malaysia tidak terkesan jika TPPA gagal diteruskan appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?