Polis buka kertas siasatan kes hina Sultan
Bachok, 24 Safar 1438H, Khamis – Polis membuka kertas siasatan mengikut Akta Hasutan bagi memburu pemilik akaun Facebook, Rosli Johol yang memuat naik status dan gambar menghina Sultan dan pemimpin negara.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Dr Ab Rahman Ismail berkata, pihaknya menerima beberapa laporan polis sejak semalam, yang dibuat badan bukan kerajaan (NGO) dan beberapa individu dari seluruh Kelantan berhubung kejadian itu.
“Kita menjangkakan laporan polis akan terus bertambah kerana status yang dimuat naik pemilik akuan itu menghina serta mendatangkan kemarahan rakyat.
“Pemilik akaun itu juga menyebut beberapa Sultan negeri lain dan kita jangka negeri berkenaan juga akan membuka kertas siasatan serupa sekiranya menerima laporan.
“Kes ini kita siasat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan dan boleh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya ketika ditemui pada Majlis Kunjungan Hormat ke Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Penyerahan Kad Kuasa Kor Sukarelawan Siswa/Siswi (Suksis) di sini, hari ini.
Sebelum ini, Rosli Johol menimbulkan kemarahan orang ramai apabila memuat naik gambar dan status dalam akaun Facebooknya yang menghina beberapa Sultan termasuk Sultan Muhammad V yang juga bakal Yang di-Pertuan Agong, sejak Mac lalu.
Dia juga turut menghina Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selain beberapa pemimpin Islam lain.
The post Polis buka kertas siasatan kes hina Sultan appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan