Polis tahan empat individu bertindak agresif di Kedutaan Myanmar
KUALA LUMPUR, 26 Safar 1438H, Sabtu – Polis menahan tiga lelaki warga Myanmar dan seorang warga tempatan kerana bertindak agresif ketika bantahan kezaliman terhadap etnik Rohingya, di Kedutaan Myanmar, di sini hari ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju untuk membantu siasatan.
Amar Singh yang ditemui pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Dang Wangi di IPD Dang Wangi di sini, bagaimanapun enggan mengulas lanjut.
Terdahulu pada majlis itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul Supt Mohd Sukri Kaman dilantik menjadi Ketua Polis Daerah Dang Wangi yang baharu dengan memangku pangkat ACP berkuat kuasa hari ini.
Sukri, 41, yang berasal dari Perlis memiliki Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan daripada universiti tempatan serta pernah bertugas sebagai Pegawai Urusetia Ketua Polis Negara dalam bahagian penyelidikan dan pembangunan (R&D), Bukit Aman.
Sukri yang sudah 15 tahun berkhidmat dalam polis mempunyai pengalaman sembilan tahun menjawat jawatan sebagai pegawai di Jabatan Siasatan Jenayah di Lembah Klang dan Bukit Aman.
Beliau mengambil alih tugas daripada Senior Asisten Komisioner Zainol Samah yang dinaikkan pangkat sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang pada Disember depan. – Bernama
The post Polis tahan empat individu bertindak agresif di Kedutaan Myanmar appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan