Putus hubungan diplomatik dengan Myanmar bukan tindakan wajar masa ini: Syed Hamid

asa_1603_c1492631_15716_652

KUALA LUMPUR, 24 Safar 1438H, Khamis — Cadangan sesetengah pihak agar Malaysia memutuskan hubungan diplomatik dengan Myanmar sebagai tanda menentang kezaliman terhadap umat Islam Rohingya di negara itu, adalah tindakan yang tidak wajar dilakukan waktu ini.

Duta Khas Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke Myanmar, Tan Sri Syed Hamid Syed Albar berkata, Malaysia sepatutnya memanggil Duta Myanmar untuk berbincang mengenai langkah yang boleh dilakukan agar penindasan dan keganasan terhadap umat Islam Rohingya dapat dihentikan.

“Saya tidak anggap jalan penyelesaiannya adalah dengan memutuskan hubungan diplomatik. Kita mahu pintu rundingan sentiasa dibuka dan perlukan hubungan diplomatik ini untuk menyelesaikan masalah ini melalui perbincangan dan dialog.

“Tetapi pada masa yang sama, kita perlu juga membuat desakan ke atas Kerajaan Myanmar untuk menghentikan keganasan terhadap umat Islam Rohingya. Ini bukan mengikut agama Buddha pun untuk menganiaya mereka yang tidak bersalah dan tidak ada perikemanusiaan langsung,” kata bekas Menteri Luar itu ketika dihubungi Bernama hari ini.

Berikutan itu, katanya satu mesyuarat khas peringkat ASEAN perlu diadakan bagi mendapatkan laporan dan penjelasan daripada Kerajaan Myanmar berhubung keganasan itu, yang disifatkannya sebagai jenayah pembunuhan beramai-ramai.

Syed Hamid berkata, serangan tentera Myanmar ke atas perkampungan masyarakat Rohingya di Rakhine sejak 12 November lepas telah menyebabkan kematian 428 orang selain 1,780 rumah dibakar dan 35,000 orang menjadi pelarian.

Menurutnya, Kerajaan Myanmar di bawah kepimpinan pemenang Anugerah Nobel Keamanan, Aung San Suu Kyi perlu menghentikan keganasan tenteranya, yang telah membangkitkan kemarahan masyarakat dunia, lebih-lebih lagi negara itu sedang menuju ke arah demokrasi.

“Kebencian (terhadap umat Islam Rohingya) sama seperti yang berlaku di Rwanda dan ini perlu diambil tindakan segera. Malaysia dan negara-negara OIC di dalam ASEAN perlu bertindak secara bersepadu untuk menyelesaikan masalah ini.

“Kita bukannya hendak campur tangan. Tapi jika kita senyap dan biarkan ia berlarutan, itu bukanlah jawapannya. Kita kena bertindak bersama-sama,” katanya.

Ditanya jika negara-negara ASEAN perlu membuka pintu dan menerima kemasukan pelarian Rohingya, beliau berkata langkah itu mesti dilakukan sebagai perlindungan sementara kepada mereka.

“Bagaimanapun, ia adalah tanggungjawab Kerajaan Myanmar kerana mereka punca kepada permasalahan ini. Kita akan campur tangan bila berlakunya pencabulan ke atas hak-hak kemanusiaan…takkan kita nak berdiam diri dan kata ini adalah masalah Myanmar?,” kata beliau. – Bernama

The post Putus hubungan diplomatik dengan Myanmar bukan tindakan wajar masa ini: Syed Hamid appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?