Rafizi hilang kelayakan bertanding dalam PRU14

rafizi

KUALA LUMPUR, 14 Safar 1438H, Isnin — Anggota Parlimen Pandan, Mohd Rafizi Ramli yang dihukum penjara setahun enam bulan oleh Mahkamah Sesyen hari ini, tidak boleh bertanding dalam pilihan raya umum akan datang sekiranya Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat, kata peguamnya Gobind Singh Deo.  

Rafizi dijatuhi hukuman itu kerana didapati bersalah memiliki dan mendedahkan laporan pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Mohd Rafizi akan hilang kelayakan untuk bertanding sebagai calon kerana dalam undang-undang, seseorang yang telah disabitkan dan dihukum denda RM2,000 atau penjara lebih setahun maka dia tidak boleh menjadi calon. Itu akan memberi kesan kepada Mohd Rafizi,” katanya ketika ditanya pemberita selepas mahkamah menjatuhkan hukuman itu.

Bagaimanapun, peguam itu berkata, kedudukan Mohd Rafizi sebagai anggota Parlimen masih kekal dan dia boleh menghadiri persidangan Dewan Rakyat sehingga rayuannya diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.

Gobind Singh berkata, oleh kerana kes itu bermula di Mahkamah Sesyen, rayuan anak guamnya akan berakhir di Mahkamah Rayuan dan jika rayuan akhir belum diputuskan ketika Parlimen dibubar, Mohd Rafizi tidak boleh bertanding pada PRU-14.

Menurut Artikel 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan seseorang itu tidak layak menjadi calon sekiranya dijatuhi hukuman penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya dan di bawah Artikel sama, seseorang wakil rakyat boleh hilang kelayakan sebagai anggota Parlimen sekiranya dijatuhi hukuman sama.  

Naib presiden PKR itu didapati bersalah atas pertuduhan memiliki tanpa kebenaran satu halaman muka surat 98 mengenai Laporan Pengauditan 1MDB yang merupakan kesalahan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di lobi bangunan Parlimen di sini pada 3 petang, 24 Mac lepas, mengikut Seksyen 8(1)(c)(iii) Akta Rahsia Rasmi 1972.

Mohd Rafizi, 39, yang juga Setiausaha Agung PKR, turut didapati bersalah mendedahkan kandungan laporan itu dalam sidang media di tempat dan masa sama pada 28 Mac lepas, mengikut Seksyen 8(1)(c)(iv) akta sama. — Bernama

The post Rafizi hilang kelayakan bertanding dalam PRU14 appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?