Ringgit dijangka terus rendah minggu depan

ringgit malaysia
KUALA LUMPUR, 26 Safar 1438H, Sabtu – Dagangan ringgit dijangka terus lemah minggu depan dan mencecah paras RM4.48 berbanding dolar US sebelum kembali pulih susulan kemungkinan pihak Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) menaikkan kadar faedah pada bulan depan.

Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata biarpun Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus, pihak Fed sebaliknya dilihat hampir pasti akan menaikkan kadar faedah.

“Dana yang keluar dari Malaysia kini menghala ke Amerika Syarikat. Ia tiada kaitan dengan soal asas ekonomi negara yang kukuh dengan unjuran pertumbuhan pada 2017.

“Pandangan saya adalah pengaliran keluar ini bersifat sementara dan ringgit akan kembali stabil,” katanya kepada Bernama.

Jelas Nazri Khan, ringgit juga bukan satu-satunya mata wang yang terjejas akibat faktor kadar faedah Amerika Syarikat sebaliknya tempias itu turut dirasai rupee India, renminbi China dan rupiah Indonesia.

Ringgit juga berkemungkinan terus lemah apabila kalangan warga asing bertindak menghantar pulang wang mereka pada akhir tahun yang merupakan satu kelaziman.

Selain itu, beliau berkata, perjanjian perdagangan Malaysia dan China bernilai RM144 bilion yang dimeterai baru-baru ini akan membantu pengaliran masuk dana ke negara ini.

“Kami percaya dana ini akan masuk secara berperingkat tahun depan dan adalah diharapkan ia dapat mengukuhkan kedudukan ringgit berbanding dolar US,” katanya.

Bagi minggu yang baru berakhir, ringgit diniagakan lebih rendah pada paras 4.4530/4600 berbanding dolar US daripada 4.4140/4190, Jumaat lepas.

Ia turut rendah berbanding kebanyakan mata wang utama lainnya.

Ringgit bagaimanapun meningkat berbanding yen kepada 3.9379/9455 pada Jumaat lepas daripada 3.9874/9948 namun merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.1159/1224 daripada 3.0962/0008.

Unit tempatan itu rendah ke paras 4.7175/7267 berbanding euro daripada 4.6780/6837 dan susut berbanding pound Britain kepada 5.5538/5639 daripada 5.4734/4813. – Bernama

The post Ringgit dijangka terus rendah minggu depan appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?